Perbuatan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Adam Adli Abdul
Halim, yang kononnya telah merendahkan bendera yang menampakkan wajah
Perdana Menteri Najib Razak di depan ibupejabat United Malays National Organization (UMNO) di Putra World Trade Centre
(PWTC) baru-baru ini telah dijangka mengundang kontroversi yang hangat
dalam konteks masyarakat di mana kritikan terhadap tindak-tanduk
kepimpinan negara lazim disamakan dengan tindakan memburuk-burukkan imej
negara.
Dan
keengganan pelajar berumur 22 tahun ini (gambar kiri) untuk memohon
maaf atas perbuatannya itu sudah tentunya menarik bukan sahaja perhatian
serius daripada sebilangan ahli UMNO dan Barisan Nasional, malah
menerima maki hamun serta pelbagai ugutan daripada pihak tertentu
terhadap dirinya. Adam berani berhadapan dengan cabaran yang menggugat
ini.
Sesungguhnya, riuh rendah terhadap insiden ini tidak harus
mengalihkan perhatian kita daripada apa yang ingin disampaikan oleh
pelajar muda ini, iaitu meletakkan masalah negara seperti rasuah,
akauntabiliti, keadilan sosial serta isu AUKU di mata umum.
Insiden
di PWTC ini juga memberi petanda bahawa mahasiswa, atau
sekurang-kurangnya sebilangan mahasiswa, di negara kita telahpun bangkit
dengan kesedaran politik mereka, bersedia untuk berjuang demi kebebasan
akademik dan pelajar, serta kebebasan untuk menyuarakan pandangan
mengenai isu nasional dan antarabangsa sebagai insan yang cerdik dan
berprihatin.
Kesedaran
politik ini kelihatan melonjak lebih-lebih lagi setelah Mahkamah
Persekutuan membuat hukuman baru-baru ini bahawa Seksyen 15(5)(a) Akta
Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (yang gubalkan pada tahun 1971) -
yang menghalang pelajar daripada melibatkan diri dalam politik
kepartian - telah bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan
yang memperuntukkan kebebasan bersuara.
Tetapi insiden di PWTC
ini dan juga peristiwa lain yang melibatkan mahasiswa negara, seperti
protes terhadap perkhidmatan Wifi di kampus yang tidak memuaskan,
bukanlah satu perkara yang terpencil dan tempatan. Sesungguhnya,
perjuangan mahasiswa ini harus dilihat dalam konteks yang luas lagi,
iaitu ianya menjadi sebahagian daripada gelombang rakyat yang membantah
ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah dan jurus menginginkan
hak asasi manusia mereka, serta perubahan dan reformasi sosial.
Dengan
kata lain, perjuangan politik pelajar selalunya seiring dengan apa yang
berlaku dalam masyarakat. Maka tidak hairanlah, misalnya, apa yang
diwar-warkan sebagai Arab Spring itu mendapat tempat di hati
mahasiswa di dunia Arab. Ini bukanlah bermakna gelombang reformasi ala
dunia Arab itu akan atau sudah melanda negara kita. Namun, bahang
kebangkitan politik itu boleh menyuntik perjuangan politik pelajar kita.
Itulah
sebabnya idealisme yang membakar semangat pelajar negara ini berperanan
membuat mereka sinis dan kritis terhadap usaha pemerintah Barisan
Nasional (BN) untuk hanya meminda AUKU yang selama ini kelihatan batu
penghalang kepada penglibatan politik aktif pelajar dalam dan luar
kampus. Bagi mereka, AUKU yang kelihatan tidak demokratik itu perlu
dimansuhkan sahaja.
Kelulusan Parlimen tergesa-gesa baru-baru ini terhadap Akta Perhimpunan Aman (Peaceful Assembly Act)
yang sebenarnya mengekangkan lagi ruang berkumpul dan bersuara mungkin
juga menjadi satu faktor atau isu tambahan yang membuat sebilangan
pelajar berasa terpanggil untuk menyahut seruan kepimpinan pelajar untuk
turut memperjuangkan hak-hak asasi pelajar dan orang ramai.
Bagi
pihak yang menentang pergerakan politik pelajar yang aktif, mereka
lazim mengingatkan orang ramai, khususnya ibubapa, bahawa mahasiswa akan
membuang banyak masa dalam politik hingga mengabaikan pendidikan
universiti mereka. Tapi kita harus ingat bahawa pengabaian pendidikan
atau kelemahan pencapaian akademik juga berlaku bagi sebilangan pelajar
ketika AUKU masih digunapakai. Yang penting ialah keupayaan mahasiswa
membuat perhitungan sendiri untuk membahagi-bahagikan masa dengan lebih
waras dan kreatif.
Sesungguhnya,
penglibatan aktif dalam pergerakan mahasiswa boleh mendirikan insan
yang bukan saja diasah ciri-ciri kepimpinan, tetapi juga menggalakkan
mereka lebih bersikap berkeyakinan dan prihatin terhadap kebajikan orang
ramai, khususnya mereka yang miskin dan tidak berkuasa dari segi
politik. Inilah antara ciri idealisme yang sepatutnya diburu oleh para
mahasiswa yang muda usianya yang mempunyai kesedaran politik dan
kecerdikan.
Masyarakat secara amnya boleh meraih kebaikan daripada mahasiswa yang sanggup menyahut panggilan suara hatinya (conscience)
supaya mereka tidak bersikap Pak Turut dan akur kepada keadilan dan
lunas-lunas demokrasi, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan
realiti yang begitu mencabar.
Sejarah pergerakan pelajar memperagakan beberapa contoh yang mencerminkan keprihatinan dan keluasan pandangan atau worldview pelajar.
Misalnya, pelajar dari Universiti Malaya (UM) peka terhadap
kesengsaraan yang dialami oleh kalangan petani yang miskin di Teluk Gong
di Selangor pada tahun 1967 hingga menyebabkan sebilangan pelajar dari
universiti tersebut mengadakan protes terhadap pemerintah. Satu kes
lagi ialah pelajar UM telah membuat protes beramai-ramai terhadap
pemerintah yang mengakibatkan pemusnahan kawasan setinggan Tasek Utara
di Johor pada September 1974.
Sesungguhnya mahasiswa tempatan di
masa lalu tidak bersikap katak di bawah tempurung. Mereka juga peka dan
prihatin terhadap apa yang berlaku di peringkat antarabangsa.
Misalnya, mereka mengadakan demonstrasi membantah pencerobohan Soviet
Union terhadap negara Czechoslovakia pada 1968.
Mahasiswa
sedemikian rupa sukar untuk diputarbelitkan atau diperkudakan oleh
mana-mana pihak, iaitu satu-satu ciri yang menjadi kayu ukur terhadap
kebebasan intelek dan politik mereka.
Itulah
sebabnya bagi kebanyakan pelajar dan sebilangan orang ramai yang
menghargai kebebasan berfikir dan semangat berdikari, kemunculan AUKU
pada 1971 di kampus merupakan satu usaha muflis pihak pemerintah untuk
membenteras pergerakan pelajar yang kritis lagi bebas itu. Pendek kata,
kebebasan minda mahasiswa menjadi fobia pemerintah.
Layanan
sedemikian rupa yang diperlakukan oleh pemerintah terhadap mahasiswa
adalah menyedihkan kerana ini melibatkan generasi muda yang bakal
menjadi pemimpin dan juga golongan intelektual yang berkaliber, dinamik
dan berkeyakinan di masa akan datang.
Minda yang bebas dalam
kalangan mahasiswa bukanlah semata-mata untuk tujuan "berpolitik" dalam
ertikata atau kerangka yang sempit yang selalu digunakan oleh pihak
berkuasa. Minda dalam persekitaran yang bebas membolehkan mahasiswa
berusaha berfikir secara lebih kreatif, berimaginasi dan kritis.
Pemikiran yang tajam amat perlu dalam usaha kita melahirkan insan yang
berkeupayaan mencari penyelesaian kepada cabaran dan masalah yang
dihadapi dalam kehidupan seharian kita.
Kemunculan seorang insan
bernama Adam Adli merupakan satu peringatan kepada kita akan era silam
pergerakan mahasiswa tanah air di mana kebebasan berfikir, keprihatinan
dan kepekaan terhadap masalah dan cabaran yang dihadapi rakyat, negara
dan komuniti antarabangsa dihargai masyarakat pada amnya.
Ketika
artikel ini ditulis, Adam dan rakan seperjuangannya dilaporkan ditahan
oleh polis ekoran daripada demo membantah AUKU di UPSI menjelang Tahun
Baru ini. Adam dan rakan-rakannya kelihatan sedar bahawa tubuh badan
boleh ditahan, tapi idea dan idealisme yang berkembang sukar untuk
dipenjarakan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.