KUALA LUMPUR, 3 Jan: Gerakan Menuntut Kebebasan
Akademik (Bebas) hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan
keganasan pihak polis ketika menyuraikan himpunan kebebasan akademik di
hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Sabtu lalu.
Laporan
itu dibuat oleh Jurucakap Bebas, Haziq Abdullah Abdul Aziz di Ibu
Pejabat Polis Dang Wangi, dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Dalam
laporan berkenaan, Bebas mendakwa pihak polis melakukan provokasi dan
memukul mahasiswa agar mereka bersurai, meskipun berkali-kali mereka
memberi jaminan himpunan akan berlangsung aman.
"Kami menyaksikan
Safwan Anang mengadu kesakitan akibat ditumbuk dan dipukul sehingga
cedera," kata Haziq dalam memetik laporan tersebut.
Bercakap pada
sidang media selepas laporan dibuat, Haziq berkata, Bebas menggesa soal
siasat dan tindakan diambil terhadap anggota polis yang terlibat dalam
insiden itu.
"Kami mendesak tindakan diambil terhadap anggota
polis berkenaan kerana kalau dibiarkan, kejadian sebegini akan terus
berulang," kata beliau yang ditemani peguam, Fadiah Nadwa Fitri.
Sementara
itu, Fadiah berkata, tindakan polis itu jelas berunsur jenayah kerana
mahasiswa yang berhimpun tidak membawa sebarang senjata yang
membahayakan.
"Dari segi undang-undang, tindakan polis ini
berunsur jenayah kerana mahasiswa dikasari, diterajang, ditumbuk
sehingga cedera," katanya.
Safwan yang terpaksa dirawat di
hospital beberapa hari turut hadir memberikan sokongan bersama
isterinya, Masturah Abu Bakar dan kira-kira 20 wakil daripada Solidariti
Mahasiswa Malaysia (SMM).
Tuntut polis mohon maaf
Sementara
itu, Gerakan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) pada sidang media
berlainan selepas itu mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,
Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri Perak bertanggungjawab
terhadap insiden yang disifatkan sebagai pencemaran imej polis.
Presidennya,
Akram Ikrami Taib Azamuddin berkata, Gamis sekali lagi mendesak pihak
polis membuat permohon maaf terbuka memandangkan tempoh 24 jam yang
diberikan kepada mereka untuk berbuat demikiian telah berlalu.
"Sebelum ini Gamis menuntut pihak polis membuat permohonan maaf segera tapi sampai sekarang belum dibuat.
"Jadi
sekali lagi kami tuntut mereka mohon maaf dan kami pandang serius
perkara ini kerana melibatkan timbalan presiden Gamis sendiri, Safwan
Anang," katanya.
Pengerusi SMM, Ahmad Shukri Razab pula mengecam tindakan polis membuat penafian awal sedangkan siasatan belum pun dilakukan.
"Polis awal-awal lagi nafi tiada kekasaran walaupun belum buat soal siasat lagi.
"Kami
juga kesal polis mengambil keterangan Safwan secara terburu-buru
walaupun beliau masih belum pulih dan dipaksa mengaku cedera kerana
terjatuh," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.