KOTA KINABALU, 3 Jan: Pemuda PAS Sabah hari ini menyambut baik dan mengalu-alukan tindakan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin (gambar kiri) jika mahu keluar daripada Umno BN.
Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, jika benar dakwaan itu, tindakan
yang dibuat oleh ahli parlimen itu sekaligus memberi petanda bahawa Umno
BN juga ditolak oleh pemimpinnya sendiri.
“Pemuda PAS mengalu-alukan tindakan beliau untuk keluar daripada Umno BN.
“Ini merupakan petanda bahawa, Umno BN tidak hanya ditolak oleh
rakyat tetapi termasuklah pemimpinnya sudah meragui kewibawaan parti
itu,” katanya.
Sehubungan itu, kata Lahirul, pihaknya turut mempelawa Datuk Seri
Lajim untuk bersama-sama perjuangan Pakatan Rakyat bagi membela nasib
dan taraf hidup rakyat Sabah.
“Kita pelawa beliau untuk sama-sama dengan Pakatan Rakyat. Beliau sudah sedar apabila bersama UMNO/ BN masih tidak berubah.
“Yang berubah ialah pemimpin-pemimpin Umno BN,” ujar Lahirul.
Lajim, yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
sebelum ini diwar-warkan akan keluar dariUmno dan akan mengetuai satu
front baru yang dikenali sebagai SPF sebagaimana yang telah dilaporkan
di media massa perdana.
Desas desus mengatakan demikian semakin kuat apabila tindakan Lajim
menghadiri majlis sambutan Krismas bekas wakil rakyat Kuala Penyu, Datuk
John Ghani yang turut dihadiri beberapa pimpinan Pakatan Rakyat
termasuk Naib Presiden PKR, N. Surendran dan Ahli Jawatankuasa PAS
Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Tambah Lahirul (gambar atas) , sifat pemimpin Umno
BN yang tidak mengenang budi dengan jasa-jasa Lajim yang telah memberi
kuasa kepada Umno BN untuk memegang tampuk pemerintahan Sabah sekitar
tahun 1994 lalu juga menyaksikan bahawa parti itu dalam dilema dan
perpecahan.
“Tindakan berani Lajim melompat daripada PBS kepada Umno bersama
beberapa rakannya yang lain telah memberi laluan Umno mendapat majoriti
mudah mentadbir negeri,” jelasnya. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.