KUALA LUMPUR, 26 Dis: Dewan Ulamak PAS Wilayah
Persekutuan menyeru seluruh rakyat negara ini bersatu menolak Umno BN
demi menyelamatkan wang rakyat dan harta negara dari penyelewengan.
Setiausahanya Ustaz Azhar Yahya berkata, rasuah dan penyelewengan harta
negara hanya boleh dibendung dengan menjatuhkan Umno BN dalam
pilihanraya yang akan datang.
“Rakyat Malaysia perlu bersatu
untuk menumbangkan Umno BN dalam pilihanraya yang akan datang demi
memastikan duit dan harta rakyat Malaysia selamat.
"Bayangkan
sekiranya duit yang berbilion yang tiris dan bocor kerana rasuah itu
digunakan untuk kegunaan manfaat rakyat, maka InsyAllah negara Malaysia
lebih maju lagi,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian
sebagai mengulas laporan Transparency International Malaysia (TI-M)
bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) jatuh dari
tangga 56 pada tahun lalu kepada 60 tahun ini.
Ianya juga merupakan kejatuhan kali ketiga berturut-turut sejak 2009.
Bagi Azhar, ianya sesuatu yang memalukan lebih-lebih lagi Malaysia sebagai salah sebuah negara yang menganggotai OIC.
Kerajaan BN yang sedia ada ini pula ujarnya tidak mampu lagi menangani
gejala yang semakin membarah itu walaupun cuba menggunakan pelbagai
slogan menggambarkan penentangan mereka terhadap rasuah.
“Satu-satunya cara untuk memerangi gejala rasuah ialah dengan kembali
kepada ajaran Islam yang sebenar dan bukannya menggunakan hanya apabila
tersempit sahaja," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.