GEORGE TOWN, 26 DIS – Rakyat Malaysia di Pulau Pinang menyambut
perayaan Krismas bersama kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan harapan
pentadbiran mesra rakyat yang diamalkan dapat memastikan semua anak
negeri hidup aman damai tanpa rasuah dan jenayah.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, negeri pulau mutiara itu telah
menikmati hasil daripada kerajaan yang bersih, bukan sahaja dibuktikan
melalui pujian Ketua Audit Negara dan Transparecny International tetapi
juga pelaksanaan tender terbuka dan perang melawan rasuah.
“Pulau Pinang telah mencatatkan lebihan bajet kerajaan negeri, Majlis
Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai sejak
2008.
“Lebihan bajet ini digunakan untuk program sosial dan pemberian tunai
kepada warga emas, OKU, ibu tunggal, bayi dan pelajar. Pulau Pinang
menjadi negeri pertama yang menghapuskan miskin tegar pada 2009,”
katanya dalam mesej Krismas semalam.
Tambah beliau, bagi tahun depan, pendapatan minimum untuk keluarga
miskin akan ditingkatkan kepada RM600 sebulan di mana kerajaan negeri
akan menambah secara “top up” bagi semua keluarga yang berpendapatan
kurang dari jumlah itu.
Menurutnya, usaha ini dapat membantu cita-cita kerajaan Pakatan Pulau
Pinang untuk menjadi negeri pertama menghapuskan kemiskinan menjelang
tahun 2015.
Guan Eng yang juga Adun Air Putih berkata, program pembangunan dan
kemajuan sahaja tidak cukup jika tidak dilaksanakan usaha pemerintahan
yang baik melalui reformasi institusi yang berasaskan kebebasan,
keadilan, kebenaran dan demokrasi.
“Kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun secara aman dibenarkan di
Pulau Pinang dengan usaha kerajaan negeri menyediakan Dataran Pidato
yang pertama di Malaysia dan hampir setiap minggu pelbagai protes
diadakan di jalan-jalan raya (yang mengkritik kerajaan negeri),”
ujarnya.
Katanya, urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) telah
memastikan kerajaan yang lebih sensitif kepada keperluan rakyat, mudah
ditemui rakyat dan mampu menyampaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat.
– Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.