AMPANG 26 Dis: Meskipun dijatuhi hukuman penjara setahun kerana
rasuah, namun Dr Khir Toyo dan isterinya masih mampu tersenyum ketika
keputusan itu dibacakan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Jumaat lalu.
Perkara itu membuktikan kes itu hanya sekadar wayang pentadbiran
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang Pilihan Raya Umum ke
13, kata Timbalan Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Zuraida Kamaruddin.
“Ini hanyalah wayang pentadbiran Najib menjelang PRU dan Khir Toyo
terpaksa menjadi pilihan beliau untuk dimangsakan kerana skandal ini
sukar dibendung.
“Namun kita juga berharap kes rasuah lain turut disiasat segera
termasuklah skandal NFC,” katanya kepada Keadilandaily.com hari ini.
Menurutnya, gelagat isteri Khir Toyo yang kelihatan tidak terkesan
dengan keputusan itu, seolah menunjukkan beliau yakin suaminya itu akan
dibebaskan diperingkat perbicaraan di mahkamah rayuan.
“Sudah tentu ini menimbulkan persoalan dan mungkin beliau menjangkakan suaminya akan dibebaskan pada penghujung kes ini.
“Apapun, kita tunggu perkembangan kes ini selepas ia dibawa ke mahkamah rayuan,” kata Ahli Parlimen Ampang itu.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati bekas
Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu bersalah atas tuduhan rasuah dan
dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan penjara.
Beliau didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu tuduhan
rasuah yang lebih ringan, berbanding dengan tuduhan di bawah Akta
Pencegahan Rasuah dan Akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
2009 yang memperuntukkan hukuman lebih berat.
Khir juga berdepan hilang kelayakannya sebagai Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) dan tidak boleh bertanding pada PRU akan datang.
Khir, 46, dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah
Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa
7/1L, daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin
Hayroni.
Hartanah di Seksyen 7 di Shah Alam itu diperoleh dengan harga RM3.5
juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga
RM6.5 juta.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.