26 Dec 2011

Mahasiswi turut kecam kebiadaban tentera Mesir

KUALA LUMPUR, 26 Dis: Sinergi Gerakan Mahasiswi (Sigma) dalam satu kenyataan hari ini turut menyatakan kecaman terhadap tindakan tentera Mesir yang bertindak kejam terhadap wanita yang menyertai bantahan di negara itu baru-baru ini.

Melihat ianya sebagai tidak berperikemanusiaan, biadap dan menghina wanita, pengerusinya Rohayu Rusli berkata tindakan tentera itu juga telah 'melukakan' revolusi rakyat di negara itu.

"Ini merupakan penghinaan terhadap seorang wanita yang jelas bukan sahaja melukai fizikal wanita itu, malah emosi seluruh wanita di dunia.

"Insiden yang berlaku ini menempelak dunia arab yang hebat melaungkan larangan keganasan terhadap wanita yang tidak bersenjata kerana yang berlaku adalah sebaliknya," katanya.
Dalam siri bantahan minggu lalu, satu insiden berlaku membabitkan sekumpulan askar yang menarik rambut para pembantah wanita, memijak-mijak mereka dan menanggalkan pakaian salah seorang daripada mereka.

Insiden itu mencetuskan kemarahan wanita bukan sahaja di negara itu malah seluruh wanita di negara Islam lain.

Ekoran itu juga lebih 10,000 wanita Mesir turun ke jalanan sebagai membantah tindakan biadap dan kejam tentera itu sejak beberapa hari lalu.

Mereka berarak ke kawasan pusat Kahirah sambil mendesak para pemimpin tentera yang memerintah Mesir supaya meletak jawatan.

Ia merupakan satu perhimpunan besar yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Mengulas lanjut insiden itu, Rohayu mahu semua wanita bangkit menyatakan bantahan terhadap kebiadaban tentera Mesir itu.

"Sigma menyeru seluruh badan kerajaan mahupun bukan kerajaan, organisasi hal ehwal wanita dan mahasiswi samaada dalam negara dan luar negara untuk bersuara menyatakan bantahan dan kecaman terhadap kezaliman yang berlaku.

"Jika 10 000 wanita Mesir menggerakkan jasad  mereka turun ke jalanan, marilah kita anak muda dan wanita di Malaysia mengerakkan jiwa menyatakan kebenciaan kita terhadap pencabulan kehormatan wanita.

"Jika 1 orang wanita dianiayai, biar seluruh wanita di dunia bangkit dengan sedar mempertahankannya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.