Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, penulis minum
bersama beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di kafe. Sedang kami
berbual-bual, datang seorang Timbalan Menteri, sambil membawa secawan
kopi, duduk bersama-sama dengan kami semeja.
Tiada lain yang
menjadi topik perbualan selain isu Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil
dengan skandal syarikat NFC milik anggota keluarganya.
Dengan
nada merungut Timbalan Menteri itu berkata, sepatutnya Shahrizat sudah
meletakkan jawatan sebagai Menteri dan Ketua Pergerakan Wanita Umno.
Dalam erti kata lain, beliau mengatakan Shahrizat merupakan liabiliti
yang akan membebankan Umno dalam jangka panjang.
Memang pun, soal
Shahrizat sudah beberapa kali dibangkitkan wakil rakyat Umno-BN. Dengan
nada lantang, mereka mendesak Shahrizat melepaskan jawatan. Gesaan itu
dibuat berulang kali tetapi kerajaan dan parti pimpinan Dato' Seri Mohd
Najib Tun Razak, diam membisu.
Ketua Umno Cheras, Dato' Syed Ali
al-Habshee sudah tidak tahan sehingga terpacul perkataan 'biawak hidup'
dari mulutnya. Lantas penyokong Shahrizat yang berang, terus menyerang
Syed Ali dan mempersoalkan kepada siapa ungkapan biawak hidup itu
dilontarkan.
Berbalik kepada sembang-sembang kami dengan Timbalan
Menteri tadi, penulis bertanya kepada beliau, apakah sewaktu ahli
politik menjawat jawatan awam seperti PM, TPM, Menteri dan Timbalan
Menteri yang mempunyai kuasa serta kedudukan, tidak diberi panduan oleh
SPRM.
Panduan ini penting agar penjawat jawatan utama dalam
kerajaan ini, boleh menghindarkan diri mereka daripada salahguna kuasa
dan rasuah.
Timbalan Menteri itu tidak terus menjawab soalan
penulis. Beliau mengambil pen yang tersemat dibajunya, lalu melukiskan
garis empat berbentuk palang t. Beliau kelihatan serius sambil menulis.
Kami semua terpaku dan memerhatikan sahaja tingkah lakunya.
Di
sebelah kanan atas garisan t tersebut, ditulis 'ibu bapa'. Di sebelah
kiri atas, ditulis 'suami isteri'. Pada ruang kanan di bawah ditulis
'adik-beradik', manakala di ruang kiri bawah ditulis 'anak beranak'.
Kami masih tidak memahami apa maksud beliau. Lalu Timbalan Menteri itu menghela nafasnya dengan agak panjang, lalu berbicara:
"Saya
tanyakan kepada pegawai SPRM, jika seseorang penjawat awam mahu
mengelakkan tuduhan rasuah dalam pemberian tender atau projek, siapakah
golongan yang harus dielakkan?"
"Pegawai SPRM itu melukiskan
kepada saya, lukisan yang saya buatkan kepada you all. Elak empat
golongan ini, sudah pasti akan selamat," katanya ringkas.
"Maksud
YB, dalam kes NFC Shahrizat, kalau begini aturan SPRM, beliau sudah
pasti terbabit dalam rasuah?" soalan pantas penulis kepada Timbalan
Menteri tersebut.
"Well...saya tidak boleh cakap lebih-lebih, ini
terpulang kepada SPRM," kata beliau sambil menghirup tegukan terakhir
kopinya dan terus berlalu pergi.
Kata-kata beliau tadi walaupun
ringkas, tetapi cukup jelas. Kebetulan ada cakap sosek-sosek di kalangan
wakil rakyat Umno, supaya mereka jangan membela Shahrizat tatkala isu
NFC dibangkit Pakatan Rakyat di dalam sidang Dewan.
"Tadi aku
berucap nak lawan pembangkang, tapi Menteri tu tegur aku, dia kata buat
apa engkau bela Sharizat. Dia dapat duit, engkau dapat tahi," kata
seorang MP kepada beberapa orang rakannya sambil menyedut rokok di meja
luar kafe.
Memang benar, Umno pun pening hendak membela Shahrizat
dan keluarganya. Gelagat Shahrizat sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang
lepas menyebabkan ramai perwakilan Umno yang melugai.
Tetapi mereka terpaksa menyokong kerana seluruh persidangan sudah diorkestrakan untuk memaki hamun Pakatan Rakyat.
Umno
sebenarnya tidak ada pilihan lain. Jika mereka mencantas Shahrizat
kerana terpalit dengan rasuah, orang yang memberikan tender RM250 juta
itu adalah orang Umno sendiri.
Jika mereka tidak mencantas
Shahrizat, seluruh parti Umno akan dituduh parti perasuah yang
melindungi perasuah dan mengamalkan dasar korupsi, kronisme dan
nepostime.
Sekarang pun Umno sudah tidak tahan. Tahi-tahi lembu
NFC sudah terpalit banyak ke muka Umno, sehingga hari ini rakyat sudah
mula beranggapan, seluruh pemimpin dan perwakilan Umno 'bagaikan lembu
yang dicucuk hidung' sementara menunggu untuk disembelih sahaja.
Paling
mereka tidak tahan, ada kalangan pemimpin Umno yang merungut kerana
mereka digelar 'bodoh macam lembu' kerana membela kemewahan keluarga
Shahrizat tanpa usul periksa.
Bagi kita Pakatan Rakyat, kita
menjalankan tugas mendedahkan penyelewengan pemimpin Umno, yang asasnya
amat kuat, terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara.
Jika
Najib tidak mahu mengambil tindakan terhadap Shahrizat pun tidak
mengapa. Jika pun selepas ini, mungkin ada yang membuat perisytiharan
bahawa mereka menolak laporan audit dan membebaskan Shahrizat, pun tidak
mengapa.
Ingatlah bahawa rakyat kita semakin celik dan bijak.
Umno boleh simpan Shahrizat, Umno boleh tutup kes NFC, tetapi Umno tidak
boleh menghalang Shahrizat dan NFC menjadi antara paku-paku besar yang
akan dipala dengan tukul besi bagi melengkapkan pembinaan keranda Umno
pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Adios Umno-BN!
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.