KUALA LUMPUR, 26 Dis: PAS mengutuk sekeras-kerasnya
serangan pembunuhan ke atas penganut Kristian dan gereja-gereja di
Nigeria sempena perayaan Krismas di negara itu baru-baru ini.
Pengerusi
Lajnah Antarabangsa PAS, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, PAS juga turut
menyokong kenyataan Majlis Muslim Britain semalam yang turut sama
mengutuk serangan itu.
"PAS bersama masyarakat antarabangsa mengutuk keras serangan terhadap gereja Kristian tersebut.
"Kita juga menyokong kenyataan Majlis Muslim Britain yang mengutuk serangan tersebut," katanya kepada Harakahdaily.
Setiausaha
Agung Majlis Islam Britain Murad Farooq, dalam kenyataannya berkata
bahawa orang Islam yang beriman tidak boleh membiarkan serangan ke atas
tempat-tempat ibadat penganut agama lain termasuk Kristian apatah lagi
serangan itu berlaku pada perayaan yang paling penting bagi mereka.
"Ia
menyakitkan hati dan umat Islam mengutuk tindakan itu yang telah
mengancam hubungan antara orang Islam dan Kristian, yang telah damai di
masa lalu.
Pada pagi Krismas lalu, dua gereja iaitu gereja St
Teresa dan gereja Evangelical diserang sekumpulan yang menamakan diri
mereka "Boko Haram".
Dalam serangan terbaru itu sekurang-kurangnya 15 orang menjadi mangsa.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.