Gabungan Hentikan Lynas (SLC) menggesa kerajaan mengundang Lynas supaya
menjalankan Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) atas Lynas
Advanced Material Plant (LAMP) bagi memenuhi kriteria terbaru yang
ditetapkan oleh kerajaan.
Menurut
ketetapan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang dipaparkan di laman web
bertarikh 20 Jun 2011, aktiviti tambahan yang memerlukan DEIA adalah
"kegiatan yang melibatkan bahan radioaktif dan menghasilkan sisa
radioaktif".
Jelas bahawa sisa buangan melalui proses Penapisan dan Penulenan Air (Water Leach Purification,
WLP) dari LAMP adalah sisa buangan yang beradioaktif. Fakta ini juga
dikenalpasti dan diperakui oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
dalam Parlimen pada 14 Nov 2011.
SLC mengalu-alukan
pengemaskinian terbaru JAS kerana ini membuktikan kerajaan mula
mengambil berat atas pengendalian dan pengurusan sisa buangan
radioaktif. Walaupun masih terdapat banyak kelemahan dari segi
undang-undang yang berkaitan dengan alam sekitar terutamanya dari sudut
pemantauan dan penguatkuasaan, SLC menganggap langkah tersebut
menunjukkan satu titik permulaan kerajaan ke arah pengurusan alam
sekitar yang lebih mantap dan profesional.
SLC
harap kerajaan jangan memberikan alasan bahawa projek LAMP diluluskan
sebelum ketetapan terbaru ini dan oleh itu boleh dikecualikan daripada
DEIA. LAMP merupakan kilang pemprosesan tanah nadir terbesar di dunia
dan bakal memproses sebanyak 64,000 tan tanah nadir mentah dari Mt.Weld
Australia serta berupaya menghasilkan 22,000 tan tanah nadir setahun.
SLC ingin mengingatkan kerajaan bahawa Kajian Awal Kesan Alam Sekitar
(PEIA) LAMP diluluskan dengan cepat sekali oleh kerajaan iaitu hanya
mengambil masa tiga minggu sahaja.
Dari segi lokasi LAMP, jarak
tapak tersebut hanya 2 km daripada kawasan penduduk terdekat, 4km
daripada pinggir pantai dan 25km daripada Bandar Kuantan. Lingkungan 30
km jejari daripada tapak LAMP akan merangkumi 700,000 penduduk iaitu
lebih kurang 47% daripada jumlah penduduk Pahang.<1>
Sementara
itu, SLC juga menganggap bahawa DEIA dapat membantu LAMP memenuhi
syarat-syarat yang ditetapkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa
(IAEA) yang mana kemudian juga dipersetujui oleh kerajaan Malaysia.
Antaranya syarat ke-9 dan ke-10 menetapkan bahawa AELB dan Lynas harus
mengerapkan komunikasi dengan pihak yang berminat dan terjejas. Jelas,
DEIA yang mewajibkan perundingan awam dapat membantu memenuhi
syarat-syarat tersebut.
Maka adalah menjadi satu kewajiban bagi
sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab, profesional dan berorientasikan
rakyat untuk memastikan pelaksanaan projek tersebut tidak menggadaikan
keselamatan penduduk dan kelestarian alam sekitar. Dengan itu SLC
menggesa kerajaan mengarahkan Lynas secepat mungkin supaya menjalankan
DEIA bagi memulihkan keyakinan dan meningkatkan ketelusan projek
tersebut.
<1> http://www.pahang.gov.my/index.php/Khabar-Pahang/bil-2feb08-16-29-feb08-jld-1.html
*Kenyataan media oleh Gabungan Hentikan Lynas.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.