Baru-baru ini mahasiswa melakar satu lagi sejarah baru apabila berjaya
melakukan perhimpunan aman bagi menuntut kebebasan akademik dari Masjid
Jamek dan berarak hingga ke bangunan PWTC.
Enam tuntutan yang
ingin dibawa gerakan ‘Bebas’, iaitu mansuhkan AUKU, akta 174 dan akta
555, bebaskan ilmuan berakademik, bebaskan mahasiswa bersuara, bebaskan
mahasiswa mengurus pilihanraya kampus, bebaskan mahasiswa mengurus
tadbir persatuan dan bebaskan mahasiswa berpatisipasi dalam politik.
Mengenali
isu tindakan Adam Adli yang menukarkan bendera gambar Perdana Menteri
Datuk Seri Najib dengan bendera logo Bebas, saya kira isu adalah tidak
perlu diperbesarkan.
Sepatutnya tuntutan yang dibawa mahasiswa
untuk memansuhkan AUKU dan kembalikan hak dan autonomi mahasiswa perlu
dibincangkan oleh semua pihak bukannya membincangkan perkara yang remeh
itu.
Biarlah mahasiswa melakukan kesilapan semasa zaman
mahasiswanya supaya mereka tidak melakukan kesilapan di masa mereka
menjadi pemimpin masa hadapan. Ini adalah satu proses pembelajaran untuk
mematangkan diri dan menimba pengalaman terbaik.
Kepada
rakan-rakan pro-aspirasi yang melakukan demonstrasi di Putrajaya
baru-baru ini bagi menyokong kepimpinan YAB Dato’ Seri NajibTun Razak
dan mendesak Dato’ Saifuddin Abdullah meletak jawatan sebagai Timbalan
Menteri Pengajian Tinggi saya ucapkan tahniah kerana berjaya menggunakan
ruang demokrasi untuk menyatakan pandangan.
Namun saya ingin
mengingatkan, janganlah mahasiswa menjadi budak suruhan untuk
kepentingan mana-mana pihak. Mahasiswa mempunyai idealisme dan pendirian
tersendiri bukannya menjadi seperti "lembu dicucuk hidung" yang mudah
dikawal pihak lain.
Kita ketepikan ideologi politik
masing-masing sebentar untuk kita bersatu bersama-sama dalam
memperjuangkan nasib mahasiswa, rakyat dan kesejahteraan negara.
Adakah
kita sanggup melihat kegagalan kerajaan sekarang dalam mengurus tadbir
negara sehingga banyak berlaku penyelewengan harta rakyat berterusan di
masa akan datang.
Pengagihan kekayaan negara hanya berlegar di
kalangan golongan ‘elit’ dan kroni sahaja. Dalam masa yang sama majoriti
rakyat menghadapi tekanan kehidupan yang kian menghimpit dengan kesan
peningkatan harga barang dan paras gaji yang rendah.
Saya juga
ingin berpesan kepada mana-mana parti politik samada Barisan Nasional
atau Pakatan Rakyat supaya lebih telus dan ikhlas dalam memperjuangkan
nasib rakyat dan negara.
Budaya gangsterisme dan politik kotor mestilah ditolak dalam kehidupan masyarakat Malaysia yang terkenal dengan adab sopannya.
Mahasiswa
dan anak muda merupakan penentu undi dalam pilihan raya akan datang.
Kita lakukan sedikit pengorbanan untuk melakukan perubahan demi
memastikan keadilan dan kemakmuran negara dapat dilaksanakan.
*Penulis adalah Presiden Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU)
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.