KUALA LUMPUR, 27 Dis:
Gesaan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) agar urusan penafisan filem
terus dengan kerajaan untuk mengelakkan pihak berkepentingan mengambil
kesempatan.
Sehubungan itu, mereka menggesa Kementerian Dalam
Negeri (KDN) menarik balik keputusan untuk menyerahkan tugas menapis
filem kepada penerbit dan pengimport filem mulai tahun hadapan.
Sebelum ini penapisan filem adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Penapis Filem (LPF).
Pendirian Muslimat PAS ini dibantah oleh Wanita MCA dengan andaian ia
menggambarkan kerajaan di bawah PAS mahu menyekat kebebasan penerbit
filem.
Namun bagi timbalan ketua Muslimat PAS, Dr. Siti Mariah Mahmud (gambar)
, pandangan ini dibuat kerana pihaknya bimbang penerbit dan pengimport
mengambil kesempatan untuk sengaja "terlepas menapis" dan menayangkan
filem-filem yang mempunyai unsur negatif dan bercanggah dengan norma
masyarakat majmuk di Malaysia.
"Kerajaan tidak boleh lari dari
tanggungjawab sebagai “gate keeper” kepada Industri Perfileman kerana
sebahagian penerbit dan pengimpot filem tidak mempunyai nilai yang sama
dengan majoriti rakyat," katanya.
"Sementara menunggu KDN
bertindak ke atas penerbit atau pengimpot filem untuk memberi penjelasan
sekiranya filem yang ditayangkan tidak menepati syarat-syarat tayangan,
pihak-pihak ini sudah pun mengaut keuntungan," kata beliau kepada dalam
kenyataan kepada Harakahdaily.
Siti Mariah juga menyifatkan
keputusan itu sebagai menidakkan peranan dan tujuan LPF ditubuhkan dan
menggambarkan sikap flip flop, ketidaktegasan dan lepas tangan kerajaan
BN dalam menangani isu yang amat penting ini.
"Ianya bercanggah
dengan semua keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini.
Kerajaan sekali lagi menunjukkan sikap yang tidak konsistan apabila
berubah kepimpinan utama negara.
"Dasar kementerian yang tidak
konsistan ini menyebabkan segolongan masyarakat yang berkepentingan
mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dan melupakan kesan jangka
panjang kepada masyarakat terutamanya aspek nilai kehidupan murni,
moral dan keagamaan rakyat terbanyak," kata beliau yang juga Ahli
Parlimen Kota Raja.
Tegas beliau juga, jika LPF sudah tidak
menjalankan tanggungjawab menapis filem lagi, pihak-pihak terlibat akan
mudah terlepas daripada tindakan undang-undang atas alasan mereka tidak
tahu bahawa sesuatu adegan dalam filem mereka dianggap menyalahi
peraturan penapisan.
"Penghapusan penapisan oleh LPF dilihat
sebagai jalan mudah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi menghadapi
segelintir pengkritik, penggiat seni dan rakyat yang terlalu longgar dan
liberal dengan nilai mereka dan menganggap yang rakyat semuanya matang
untuk menilai sendiri kesemua perkara," tegasnya.
Sehubungan itu
ujarnya, DMPP akan menyerahkan memorandum bantahan kepada KDN dalam masa
terdekat dan akan melancarkan Kempen Tanda Tangan Protes Rakyat
Malaysia yang tidak bersetuju dengan langkah terbaru ini.
|
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.