“Generasi muda perlu diperlengkap dengan latihan dan kemahiran  bagi mempastikan peranan mereka dalam pembangunan negara… Potensi setiap  golongan ini mestilah digembleng dan dioptimumkan, idealisme mereka  mesti digilap, kreativiti mesti dipupuk dan bakat mereka dibajai untuk  terus berkarya.” – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober 2011.
“‘Gembleng. Optimum. Perlengkapkan. Setiap golongan. Gilap. Pupuk.  Mesti.’ Ayat-ayat ni aku saspek ada bau-bau komunis ja…” kata seorang  penganggur kepada penulis, ketika mendengar ucapan Najib yang disiarkan  secara langsung melalui kaca TV di sebuah restoran di ibu kota.
Sementara seorang rakan yang satu lagi pula memberi respon, apa yang  dikatakan Najib hanyalah sebagai “janji pilihan raya, ayat-ayat  politik.” Tepat dan padu analisa mereka.
Anak muda ditolak ke tepi
Realitinya, begitulah andaian kasar golongan muda terhadap apa yang  cuba Presiden UMNO itu mahu laksanakan melalui Bajet 2012 itu – kosong,  tidak memberi apa-apa makna.
Dengan menolak ke tepi golongan idealis muda yang masih terawang  antara idealisme dan realiti, rata-rata golongan muda yang datang dari  pelbagai latar, pengumuman Najib itu hanyalah ungkapan ‘trying hard’ untuk menyedapkan hati rakyat Malaysia. Dan secara tidak langsung memperlekehkan golongan muda.
Bolehlah beliau berkata begitu, hasil Bajet-nya itu jelas untuk  jangka masa pendek sahaja, dengan pemberian ‘sekali jalan’ yang nyatanya  adalah untuk menarik undi secepat mungkin, sebelum rakyat lupa akan  janjinya itu.
Dengan modal kononnya mahu membangunkan golongan belia, lalu  dihamburkan wang ringgit, dibangunkan pula syarikat-syarikat  bekepentingan kerajaan dan swasta dengan jutaan ringgit – yang belum  tentu ada akauntabiliti dan ketelusan – untuk “pembangunan sistem  pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berbakat, berkemahiran  tinggi, mempunyai daya kreativiti serta berinovatif.”
Benar, setiap sebahagian besar kerajaan dalam dunia, dengan memetik kata Najib, “prihatin terhadap suara dan nurani orang muda.”
Begitu pun, tahap ‘keprihatinan’ Najib itu, tidak pula menampakkan  ciri-ciri keperihatinannya terutamanya bagi golongan muda luar bandar,  yang mungkin ketika rencana ini ditulis, sedang sibuk dengan aktiviti  merempit, menghisap dadah, dan pelbagai lagi masalah sosial.
Tetapi punca terjadinya masalah ekonomi dan sosial golongan muda,  jauh dari itu. Ia sangat berkait rapat dengan pembentukan dan  pembangunan ilmu yang selama ini tertutup rapat.
Kuncinya di sini ialah kebebasan berfikir, untuk menggapai ilmu dan  pemahaman yang jitu, bagi golongan muda. Inilah yang diabaikan BN sejak  54 tahun ini.
Jika Isaac Newton dilarang meluahkan idea kepada guru dan rakan  sekolah, jika dia asyik terperap di bilik dan tidak bebas untuk berjalan  menenangkan diri di bawah pokok epal, mungkin tiada kedengaran tentang  graviti.
Jika Albert Einstein dikongkong daripada berhujah di sekolah, di  university atau di mana sahaja kerana tiada tauliah, tentu dia tidak  dapat menghasilkan teori relativitinya yang telah mengubah persepsi  manusia terhadap ruang, masa dan gravity.
Najib yang ‘jauh ke hadapan’ masih mahu membawa rakyat Malaysia  berhampiran lohong gelap di mana anak muda hanya dibenarkan menghafal  dan dilarang bertanya serta berhujah mempersoalkan ‘tradisi’ kerana  semua itu akan membawa kepada falsafah – dan falsafah itu dianggap oleh  para pemimpin negara sebagai sesuatu yang menyesatkan, tidak berfaedah  dan tidak membangun.
Garang anak muda, bila dewasa sama saja
 
Tiada kata seindah bahasa, tetapi bermadah sahaja tidak ada  manfaatnya apabila Najib dan para Perdana Menteri sebelum ini memekakkan  telinga dari jeritan garang golongan idealis muda Malaysia.
Apabila kebebasan untuk berpolitik, menubuhkan kelab-kelab yang  berorientasikan idealisme dan falsafah dalam kampus dihalang untuk mekar  kerana Akta Universiti dan Kolej Universiti, anak muda terus mandom.
Bagaimana pun, dalam ‘kegarangan’ golongan muda berjuang menuntut  pemansuhan AUKU, tidak pula terdengar desakan dari pejuang pelajar ini  untuk mendesak menuntut kebebasan akademik secara total – yakni menuntut  subjek-subjek penting diwujudkan, contohnya pengajaran falsafah,  perbandingan ideologi, antara agama, kesaksamaan gender, dan banyak lagi  di tempat pengajian mereka.
Ini juga kesan ‘kejayaan’ AUKU yang bukan sahaja menyekat aktivisme  mahasiswa tetapi juga menutup minda mereka, termasuk yang mengaku  menjadi pejuang pelajar.
Kerana itu, apabila mereka menjadi graduan dan menjejak alam dewasa,  politik mereka kekal terbatas kepada agama dan kaum, selain politik  carma.
Jika Najib jujur prihatin terhadap nasib golongan muda yang selama 54  tahun ini dikongkong oleh partinya sendiri, beranikah beliau untuk  ‘memandibungakan’ sistem pendidikan?
Memang tepat apa yang dikatakan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang,  “Bajet BN itu dicipta untuk memenangi pilihan raya akan datang, bukan  untuk mereformasi dan mentransformasi sistem negara ini.”
UMNO dan BN sudah kering idea untuk mengubah segala ‘kekotoran’ yang dihasilkan mereka selama ini.
Bagi menutup bangkai gajah, Najib berniat pula mahu menubuhkan  MyCreative Venture Capital, kononnya sebagai projek perintis  ‘membangunkan belia’ dan memberi bantuan kepada golongan muda yang  mempunyai idea kreatif.
Dengan modal ini, menurut kefahaman penulis, agaknya hasrat kerajaan  untuk melahirkan lebih ramai Steve Jobs dan Bill Gates, masing-masing  pengasas Apple dan Microsoft.
Kebebasan melahirkan kreativiti melahirkan kejayaan
Sedarkah Najib bahawa kebebasan yang ada dalam masyarakat di mana  Newton dan Einsten (yang agak terkongkong pada masa itu) dan Bill Gates  serta Steve Jobs (yang amat luas terbuka ruang kebebasannya) banyak  membantu mereka menterjemahkan idealisme kepada teori, amalan dan  produk?
Harapnya Najib sedar, jenis-jenis manusia pencipta dan saintis yang  disebutnya dalam Bajet 2012 BN itu sebenarnya adalah produk dari sistem  demokrasi yang bebas di mana kebebasan berfikir yang muncul dari  kebebasan akademik dan peluang sama rata tanpa kuota.
Atau adakah secara halusnya, dengan memperbanyakkan syarikat-syarikat  yang dikuasai kerajaan untuk ‘membantu’ golongan muda ini, Najib  sebenarnya mahu melahirkan belia-belia yang bergantung harap pada  subsidi kerajaan atau kontrak?
Ini tidak dapat dijangkakan, tetapi mengikut rekod rasuah, ketirisan,  ketidaktelusan dan salah guna kuasa BN selama ini, adalah tidak salah  untuk mencurigai niat halus Najib itu.
Yang paling aneh, walau tak sepelik mana, tiada pula mahu BN  mencermin diri bersama Majlis Profesor Negara dan berfikir untuk  memperbaharui sistem pendidikan Malaysia sedalam-dalamnya.
Meminjam kata-kata Presiden UMNO dalam Bajet 2012 itu, “Ilmu  pengetahuan adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun dan  pelapik asas bagi mencapai kecemerlangan.”
Apakah ketam cuba mengajar anaknya berjalan betul?
Justeru, adalah mudah jika mahu memupuk dan membajai ilmu pengetahuan  dengan memperkemas, memperbaiki corek camping sistem pendidikan,  sebelum pergi jauh memberi modal kepada belia yang dianggap kreatif  sahaja melalui syarikat-syarikat yang bakal tumbuh bak cendawan selepas  hujan nanti.
Maksudnya, sistem pendidikan kekal tempang manakala sistem mengemis  projek dan kontrak akan berterusan. Anak-anak muda pula terus kehilangan  arah kerana kreativiti gagal muncul tanpa kebebasan berfikir, bersuara  dan berekspresi.
Hanya peruntukan wang tanpa membebaskan cengkaman minda
Berkaitan dengan agenda BN memantapkan pembangunan pendidikan, Najib  selaku Menteri Kewangan mengumumkan RM50.2 bilion akan diperuntukkan  bagi sektor pendidikan dengan menyebut RM1.9 bilion akan diberikan  kepada semua jenis sekolah.
Pun begitu, bunyinya tetap indah, gorengan bahasanya hasil karya  penulis skrip Bajet 2012 sangat memukau. Memukau hanya untuk mereka yang  dahagakan projek, dan mereka yang lembam dalam memahami maksud tersirat  sebenar BN – mereka lebih utamakan pemberian wang ringgit berbanding  pembangunan masyarakat madani yang benar-benar bebas dari cengkaman  kerajaan yang tidak telus dan tidak menghargai kebebasan.
Benar seperti apa yang disebutkan rakan penulis sewaktu di restoran  pada 7 Oktober lalu bahawa kata-kata Najib itu bersifat komunis dengan  menawarkan kebajikan bersyuarat (tunduk kepada pemerintah) dan dalam  masa sama merobotkan rakyat.
Setiap kali bajet atau peruntukan, hanya wang untuk mengekalkan apa  yang ada. Kurikulum atau sukatan pendidikan masih di takok lama. Kalau  sudah diubah kerajaan, ia sekadar menulis semula sejarah mengikut agenda  politik.
Jika sistem pendidikan yang bebas, adil dan terbuka serta peluang  sama rata mengikut merit dapat dijadikan budaya, bukan hanya Steve Jobs  atau Bill Gates sahaja dapat dihasilkan, malah versi baru Plato,  Aristotle, Ibnu Sina, William Shakespeare, Leonardo Da Vinci, Ludwig van  Beethoven, Srinivasa Ramanujan dan Nikolai Tesla akan muncul.
Najib lebih rela ‘play safe’ semata-mata untuk kepuasan diri  dan parti, dan untuk mengekalkan kuasa bagi pilihan raya umum ke-13  yang mungkin akan berlaku tidak lama lagi, sebelum rakyat lupa akan  ‘kebajikan sekali jalan’ beliau.
Jika setakat itu sahaja keberanian Perdana Menteri, simpan sahaja  Majlis Profesor Negara. Mana tahu suatu hari nanti untuk Bajet akan  datang boleh ditubuhkan sebuah Muzium Profesor Negara untuk memperingati  jasa-jasa mereka yang tidak membantu memupuk ilmu dan kebebasan berilmu  kepada semua rakyat Malaysia. – Roketkini.com
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.