KUALA LUMPUR, 14 OKT – Belanjawan Pakatan Rakyat bertemakan  ‘Kesejahteraan Untuk Semua’ bukan gula-gula politik kerana ia lebih  realistik dan berdaya dilaksanakan tanpa kerajaan perlu berhutang  berbilion ringgit.
Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari  berkata, terdapat perbezaan yang sangat ketara di antara Belanjawan  Pakatan dan Bajet Barisan Nasional.
“Tidak seperti pemberian duit oleh BN yang hanya untuk jangka masa  pendek, kami sebaliknya telah mengambil pendekatan cermat dan teliti  bagi memastikan bantuan wang sampai secara logik,” katanya dalam satu  kenyataan.
Beliau memberi contoh masalah yang akan timbul apabila BN memberikan  RM500 kepada keluarga berpendapatan rendah, sebagai tambahan kepada  RM100 bagi setiap seorang kanak-kanak untuk belanja sekolah dan RM200  bagi pelajar-pelajar pengajian tinggi.
“Untuk langkah sementara, Bajet BN yang mahu memancing undi pilihan  raya umum akan datang dapat membantu meringankan beban yang dikaitkan  dengan peningkatan kos sara hidup, terutamanya bagi kumpulan-kumpulan  yang disasarkan.
“Manakala pendekatan kami, yang memberikan elaun suri rumah RM1,000  dan RM700 kepada setiap kanak-kanak bagi penjagaan kanak-kanak mempunyai  niat yang lebih bernuansa yang mana dapat menggalakkan penyertaan  wanita dalam sektor tenaga kerja, sekaligus memberi kuasa kepada  kumpulan yang disasarkan bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan  isi rumah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan oleh  Presiden Institut Demokrasi dan hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tunku Zain  Al-Abidin Muhriz tentang belanjawan PR dan BN.
Dalam tulisan yang bertajuk “BN, Pakatan budgets awash with election goodies”  itu, Tunku Zain berkata, perdebatan bajet antara Pakatan dan BN “…tidak  berasaskan perbezaan ideologi sebenar yang mana salah satu pihak perlu  mengambil kira kebebasan individu yang tidak berpusat berbanding kawalan  berpusat.”
Justeru, Zairil menjelaskan bahawa jika Tunku Abidin memperhalusi  lebih mendalam dokumen belanjawan Pakatan, beliau akan berbesar hati  mencari logik asas atau falsafah yang memperjelaskan mengenai proses  pembuatan dasar kami,” katanya.
Beliau turut menekankan, antara perbezaan penting belanjawan Pakatan  dan bajet BN ialah Pakatan komited untuk mengurangkan kebergantungan  kepada Petronas.
“Kami bercadang untuk menghadkan dividen Petronas kepada kira-kira 40  peratus daripada keuntungan bersih yang diunjurkan, berbanding 74  peratus yag diamalkan pentadbiran Najib.
“Tiada mana-mana syarikat minyak dalam dunia, termasuk syarikat yang  dimiliknegarakan, membayar sejumlah amaun yang melampau daripada  keuntungan bersih yang diperoleh sebagai dividen.
“Oleh itu, bajet BN bukan sahaja tidak realistik dan mempunyai fiskal  yang tidak mapan, bajet itu juga tidak menunjukkan sebarang usaha untuk  menangani kelemahan utama dan amalan tidak bertanggungjawab,” katanya. –  Roketkini.com
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.