| KENYATAAN AKHBAR DARIPADA PENGERUSI JARINGAN NGO ISLAM PERAK ( JAMAIE ) Saya terpanggil untuk membuat kenyataan paling penting mengenai  polemik kefahaman dan perlaksanaan hukum hudud yang sudah  berminggu-minggu dibincang di dada-dada akhbar. Khusus mengenai  pandangan Professor Atory Hussin &   Prof. Madya Dr.S. Pandian di  Akhbar Sinar Harian muka 2 edisi 12/10/11.
 Perbincangan tentang hudud diakhbar-akhbar perdana adalah disekitar  tuduhan bahawa isu hudud adalah mainan politik PAS dan PAS akan terus  gagal melaksanakan hudud kerana DAP menentang.Dibincangkan juga betapa  isu hudud ini adalah duri dalam daging yang akan menggugat hubungan  dalaman Pakatan Rakyat.Digambarkan bahawa pelaksanaan hudud tidak akan  pernah seeuai kerana majmuknya negara ini.
 Berikut kenyataan kami.
 
 i)    Menyalahkan PAS dalam polemik hudud adalah tidak meguntungkan  sesiapa.Kenapa tentangan DAP terhadap hudud diraikan seolah-olah satu  kemenangan sedangkan tentangan mati-matian MCA terhadap hudud disepikan.  Seolah-olah jika hudud gagal dilaksanakan ia merupakan kemenangan  kepada  imej politik UMNO. Hakikatnya adalah, baik tentangan DAP atau  MCA terhadap hudud adah manifestasi ‘kegagalan’ dakwah orang-orang Islam  tidak kira UMNO atau PAS.Tidak ada apa-apa yang perlu diraikan.  Sebenarnya yang perlu ditangisi adalah kenapa masih ada orang-orang  Melayu-Islam yang menentang hudud. MCA dan DAP tak faham hudud itu biasa  tetapi dolak dalik UMNO menolak kesesuaian pelaksanaan hudud di  Malaysia khususnya di Kelantan adalah sangat luar biasa.
 ii)   Benar enakmen syariah bekaitan hudud telah berjaya diwartakan  oleh kerajaan pimpinan PAS di Kelantan tahun 1993 dan di Terengganu  tahun 2003. Secara positif seluruh orang-orang beriman sepatutnya  bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada PAS kerana di mana-mana sahaja  jika ada kesempatan menguasai kerajaan dengan majoriti 2/3 PAS akan  mengusahakan enakmen-enakmen syariah di luluskan oleh dewan-dewan  legistatif. Bukankah itu tanda kesungguhan dan kejayaan PAS?
 iii)   Benar terdapat kelemahan PAS dalam kesungguhan mereka  mengusahakan supaya enakmen-enakmen tersebut dapat dilaksana dan  dikuatkuasakan. Alasan-alasan seperti halangan kerajaan persekutuan dan  ‘seolah-olah’ berlaku halangan perlembagaan adalah rintangan yang sering  diberikan oleh PAS. Halangan sebegini bukan persepsi tetapi satu  realiti yang selalu diulang-ucap oleh pemimpin-pemimpin politik  khususnya daripada UMNO, MCA, DAP & Gerakan. Kami bersetuju jika ini  dilihat sebagai kelemahan dalam iltizam PAS. Namun orang-orang beriman  mesti membantu mengatasi kelemahan PAS tersebut dengan turut terlibat  memberikan sokongan moral dan nasihat professional kepada PAS tentang  kaedah-kaedah bagi mengatasi halangan-halangan tersebut. Bukankah  merealisasikan perlaksanaan undang-undang syariah adalah tanggungjawab  semua orang-orang beriman.
 iv)   Berbanding antara kelemahan PAS (yang tidak disengajakan)  dengan komitmen bermati-matian pemimpin-pemimpin UMNO, MCA dan Karpal  Singh untuk menentang perlaksanaan hudud – orang-orang beriman mesti  tahu menentukan kewajaran sikap dan tindakan. Kelemahan PAS rawatannya  adalah berikan kerjasama dan tunjuk ajar. Namun keangkuhan UMNO &  MCA memerlukan amaran dan diberikan kata dua. Jika benar UMNO membenci  hudud, UMNO mesti mempunyai keberanian untuk berterus terang. Setakat  ini kami menyanjung sikap Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang  secara terbuaka menyokong hudud dengan alasan ia adalah tanggungjawab  agama. Apa salahnya menegakkan kepentingan politik demi melaksanakan  tuntutan agama.
 v)    Alasan demi alasan pemimpin-pemimpin besar UMNO daripada dulu  (contohnya sikap tegas Dr. Mahathir mempersenda hudud sebagai  undang-undang yang akan melemahkan umat Islam) hingga sekarang (ucapan  demi ucapan Dato’ Najib Razak yang mengatakan hudud tidak sesuai di  Malaysia) yang mempertikaikan kesesuaian undang-undang hudud adalah  sangat dikesali. Jika benar keadaan zaman Dr. Mahathir tidak sesuai  untuk perlaksanaan hudud kami ingin bertanya apa pula langkah-langkah  komprehensif kerajaan UMNO/BN daripada zaman beliau hingga era Dato’  Najib sekarang untuk membantu mewujudkan suasana ‘sesuai hudud’  tersebut. sekurang-kurangnya kerajaan PAS Kelantan telah berusaha  menutup lubang-lubang maksiat dan mungkar dengan mengharamkan judi,  mengawal ketat penjualan arak, mengawal hiburan dan budaya lucah serta  mengamalkan pentadbiran bebas rasuah. Persoalan yang nak ditanya kepada  UMNO – menolak hudud sekeras-kerasnya dan terus mempromosikan budaya  ‘tidak mesra hudud atas acuan MCA’ tidakkah dilakukan juga kerana  kepentingan politik ? kepentingan untuk meminggirkan agama, bukan?
 vi)   Bagaimana mungkin akan wujud suasana ‘sesuai hudud’ jika  dasar-dasar UMNO masih terus disuburkan dengan penggalak kepada  kesalahan-kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman hudud. Zina terus  subur dengan dasar-dasar hiburan dan perlesenan tempat hiburan mesra  zina. Mencuri terus subur dengan suasana ketidakadilan ekonomi,  pembaziran dan rasuah yang berleluasa. Disamping undang-undang mencuri  dan undang-undang rasuah yang ‘mesra penjenayah’. Minum arak terus  digalakkan tanpa ada kawalan dan perlaksanaan undang-undang yang  berkesan. Jangan lupa dalam keadaan kuasa ada ditangan, Perdana Menteri  Dato Najib terus meluluskan lesen-lesen judi baru sejak beliau menerajui  Putrajaya. Persoalannya jangan bercakap tentang suasana yang tidak  ‘sesuai hudud’ jika pemimpin-pemimpin UMNO adalah punca utama kepada  kewujudan suasana tidak ‘sesuai hudud’ tersebut. Jangan harapkan rakyat  memakan ramuan sihat jika racunlah yang ditabur dalam makanan harian  mereka!
 vii)  Sekalung tahniah kepada Mufti Kerajaan Perak, Tan Sri Harussani  Zakaria yang memberikan respon penting tentang perlunya Kerajaan  persekutuan memberikan laluan kepada perlaksanaan hudud di Kelantan.  Pihak-pihak lain yang tidak mahir tentang ‘komplexiti’ undang-undang  syariah (walaupun anda bergelar Professor dalam bidang-bidang lain) –  ambillah pesanan Rasulullah – jika tiada perkara baik yang nak diucapkan  lebih baik diam.
 viii)  Akhirnya perlu diingatkan Islam adalah agama ciptaan Allah,  milik Allah dan kita beragama untuk Allah. Islam berbeda dengan  agama-agama lain kerana Islam adalah pilihan Allah untuk bukan sahajai  penganut Islam tetapi kebaikan Islam akan merahmati seluruh manusia dan  alam. Kalau beriman, percaya dan yakinlah dengan seluruh peraturan  Islam. Tugas orang beriman adalah menjadi jurujual yang terbaik untuk  produk bernama Islam. Jurujual yang daripada awal-awal lagi mengaku  produknya tidak baik dan tidak sesuai mestilah dipecat daripada terus  menjadi jurujual. Jurujual Islam (orang beriman) adalah orang-orang yang  akan mempertahankan produknya dan secara positif dan proaktif  memberikan nasihat dan nilai tambah kepada produk dan strategi  pemasaran. Jurujual palsu Islam bertaubatlah demi pilihan antara syurga  dan neraka. Menjadi harapan kami supaya semua pihak terutama media turut  mengambil peranan mendidik masyarakat tentang Islam khususnya mengenai  falsafah undang-undang hudud. Elakkan mempolemikkan isu hudud yang bakal  menambahkan kekeliruan masyarakat. Bagi PAS, nasihat kami perbaiki dan  pelbagaikan strategi supaya Islam khususnya hudud dicintai sebagaimana  cintanya manusia kepada pencipta hudud iaitu Allah. Bagi UMNO ambil yang  jernih buang yang keruh. Belajarlah untuk mencintai dan menghargai  segala peraturan-peraturan Islam.Kepada UMNO atau PAS, hudud bukan  liabiliti tetapi aset. Perjuangkanlah!!
 
 Dr. Haji Khairuddin Bin Dato’ Abdul Malik
 Pengerusi Jaringan Muafakat NGO Islam Perak (JAMAIE)
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.