| KUALA LUMPUR, 14 Okt: Muslimat PAS menyokong penuh  titah Sultan  Brunei agar pemerintah negara itu melihat keperluan untuk  melaksanakan  undang-undang syariah dengan segera,serentak dengan  undang-undang sivil  di negara itu. Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof sambil mengucapkan tahniah kepada  Sultan Brunei berkata, negara-negara Islam yang lain khususnya Malaysia  seharusnya mencontohi Sultan Brunei yang prihatin terhadap tuntutan  Islam.
 
 "Saya bagi pihak Dewan Muslimat mengucapkan syabas di atas  kesungguhan dan ketegasan Sultan Brunei dan ia seharusnya dicontohi oleh  Raja-Raja yang lain," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
 Kelmarin, Sultan Brunei yang bertitah di mesyuarat Majlis Agama Islam  di negaranya berkata, perlaksanaan undang-undang Islam tidak harus lagi  ditangguh lebih lama kerana kelengkapan untuk melaksanakannya sudah  ada.
 Akta Jenayah Islam jika difahami dengan betul ujarnya, adalah yang  terbaik kerana ia datang dan dicipta oleh Allah Yang Maha Kuasa dan  tidak manusia.
 Siti Zailah turut berkata, sekiranya sesebuah negara  Islam itu berjaya melaksanakan undang-undang Islam dalam negaranya, ia  dengan sedirinya akan memartabatkan golongan istana kerana Sultan  merupakan ketua agama Islam.
 "Sekiranya terlaksananya undang-undang syariah ini ,ia sebenarnya  akan memartabatkan lagi kedaulatan Raja-Raja yang menerima mandat yang  besar ini," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.
 Undang-undang syariah pelihara wanita
 Sementara itu, menurut Siti Zailah juga, umat Islam khusunya golongan  wanita tidak seharusnya ragu-ragu dengan pelaksanaan undang-undang  Islam kerana ianya adil kepada semua.
 Katanya, melihat kepada kejadian jenayah yang kebanyakannya  melibatkan wanita, dan seolah-olah tidak terbendung lagi, amat sesuai  jika undang-undang Islam dilaksanakan ketika ini.
 "Undang-undang Islam ini adil dan memelihara maruah wanita itu sendiri.
 "Selama ini kita melihat ekspolitasi terhadap maruah wanita, dan  purata dalam sehari 10 wanita dirogol dan kes-kes yang melibatkan  rompakan, ragut, simbah asid, kebanyakan mangsanya ialah wanita.
 "Dengan adanya undang-undang Islam akan menimbulkan rasa gerun orang  untuk melakukan kejahatan," katanya sambil berkata skop Mahkamah Syariah  di negara ini sangat kecil iaitu merangkumi hal-hal kekeluargaan dan  rumah tangga sahaja.
 Di samping itu katanya, orang bukan Islam akan turut berasa selamat dengan keadilan undang-undang syariah ini.
 "Secara kasar, golongan bukan Islam banyak memiliki harta kekayaan  jadi dengan adanya undnag-undang syariah yang dapat membendung kejadian  curi dan rompak, mereka rasa selamat dalam menjaga harta benda,"  katanya.
 sumber : Harakah Daily
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.