SHAH ALAM: Exco Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari berkata,  Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  gagal membela kepentingan dan nasib golongan kontraktor.
Katanya, Projek Penyelengaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek  Infrasturktur Asas (PIAS) bagi menaiktaraf infrastruktur asas di luar  bandar hanya memperuntukkan RM500 Juta kepada 29,000 kontraktor kelas F  yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor.
“Sekiranya perkara ini dibuat kiraan secara terperinci, maka setiap  kontraktor hanya memperoleh nilai projek sebanyak RM 17 241.38 selama  setahun,” ujar Ahli Dewan Undangan Kota Anggerik itu dalam satu  kenyataan media.
Dari satu sudut yang lain, katanya, nilai projek ini dilihat terlalu  kecil kepada golongan kontraktor dan tidak banyak infrastruktur yang  mampu dinaiktaraf di kawasan luar bandar.
Beliau juga mempersoalkan ketelusan pihak kerajaan  menyalurkan  projek ini kepada kontraktor kerana  peruntukan  boleh dieksploitasi  dengan menganugerahkan kerja-kerja tersebut secara rundingan terus  kepada kontraktor-kontraktor tertentu.
Ujar beliau lagi, Belanjawan Pakatan Rakyat dilihat lebih realistik  kerana menekankan aspek pembangunan khususnya dalam pembangunan  infrastruktur dan pada masa yang sama mengimbangi belanjawan mengurus  bagi memastikan kesejahteraan rakyat.
“Untuk memangkin ekonomi Malaysia dalam menghadapi krisis ekonomi  global pada hari ini, Najib perlu menekankan aspek pembangunan dalam  belanjawan negara.  Ini kerana, dengan merancakkan pembangunan negara,  secara tidak langsung dapat memacu ekonomi.
“Oleh yang demikian, rakyat diminta untuk berhati-hati dalam meneliti  Belanjawan 2012 kerana ia indah khabar dari rupa,” tegas beliau.
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.