
Dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia pada 10 Oktober 2011, Gadang Holdings Bhd mengumumkan bahawa anak syarikatnya Gadang Engineering (M) Sdn Bhd telah memperolehi projek Hospital Shah Alam, dengan kontrak bernilai RM410.87 juta. Projek ini akan disiapkan dalam tempoh 24 bulan.
Pernah dalam satu laporan eksklusif, MerdekaReview (edisi bahasa Cina) melaporkan bahawa terdapat enam syarikat yang menyertai perbidaan semula projek ini, dan Gadang Holdings Bhd yang "direstui" KKR telah berjaya memperolehi projek tersebut. Sebagaimana yang diketahui, harga bidaan asal yang dikemukakan Gadang Holdings Bhd adalah RM431.66 juta, namun telah dikurangkan kepada RM410.87 juta kemudiannya, dan disiapkan dalam tempoh 24 bulan.
Masalah ketidaktelusan
Menurut laporan sebelum ini, setelah perbidaan tamat pada Disember 2010, KKR mengesyorkan Gadang Holdings Bhd kepada Kementerian Kewangan. Namun demikian, Kementerian Kewangan mengeluarkan surat perintah pada 22 Mac 2011 kepada KKR, menyatakan bahawa cadangan Gadang sebagai kontraktor projek Hospital Shah Alam tidak diluluskan, malah meminta agar KKR mengadakan perbidaan semula.
Walaupun KKR membuat rayuan kepada Kementerian Kewangan pada Jun 2011, agar Gadang Holdings Bhd yang berjaya dalam perbidaan dipertimbangkan semula oleh Kementerian Kewangan untuk mengambil-alih projek Hospital Shah Alam. Namun demikian, bukan sahaja Kementerian Kewangan menolak permintaan KKR dalam surat balasnya, malah cuba menyenaraikan Frontier Structure Sdn Bhd yang tidak berkelayakan ke dalam senarai perbidaan semula.

Dengan kata lain, walaupun Kementerian Kewangan telah mengeluarkan surat untuk tidak meluluskan Gadang Holdings Bhd daripada mengambil-alih projek Hospital Shah Alam, namun KKR bukan sahaja tidak menurut perintah Kementerian Kewangan, malah terus mengumumkan bahawa projek ini diserah kepada Gadang Holdings Bhd tanpa melalui Kementerian Kewangan. Sebagaimana yang diketahui, bukan sahaja Kementerian Kewangan, malah Jabatan Perdana Menteri tidak mengetahui keputusan KKR ini.
Lebihan kos yang ditanggung
Lantaran daripada penyerahan projek ini kepada Gadang Holdings Bhd, ia bermakna kerajaan perlu menanggung lebihan kos lebih daripada RM70 juta. Menurut dokumen Kementerian Kesihatan, kos projek melonjak kepada RM556.51 juta selepas perbidaan semula, mencatat lebihan kos sebanyak RM74.91juta berbanding nilai kontrak asal.

Lebih penting, masalah lebihan kos projek Syarikat Hospital Shah Alam mungkin tidak dapat diselesaikan dengan pengambil-alihan oleh Gadang Holdings Bhd. Isu pokoknya, walaupun Gadang Holdings Bhd berjaya memperolehi projek ini dengan sokongan KKR, namun projek Hospital Shah Alam ini juga berdepan dengan risiko kegagalan atau lebihan kos sekali lagi.
Ini kerana walaupun Gadang Holdings Bhd memiliki rekod membina hospital, namun pada hakikatnya ia tidak memiliki pengalaman yang sebenar dan profesional yang khusus. Menurut maklumat yang diperolehi MerdekaReview sebelum ini, Gadang Holdings Bhd walaupun pernah memperolehi satu projek Hospital Rehabilitasi Cheras pada tahun 2008, namun syarikat ini terpaksa mendapatkan bantuan luar, iaitu perkhidmatan rundingan yang berkenaan dengan peralatan perubatan - kerana tidak memiliki pengetahuan dan pakar dalam bidang yang berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.