KUALA LUMPUR, 14 Okt: Pakar Perlembagaan, Prof Dr.  Abdul Aziz Bari menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan  terhadapnya berhubung laporan yang dibuat, mendakwa beliau mempertikai  titah Sultan Selangor dalam isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist  Damansara Utama (DUMC).
Beliau berkata, semua orang mempunyai hak  untuk membuat laporan polis jika tidak berpuas hati terhadap tindakan  mana-mana pihak dan polis juga berhak melakukan tugas mereka.
"Hak  orang nak buat laporan polis...saya tak boleh kata apa...terpulang  kepada polis untuk ambil tindakan," katanya kepada Harakahdaily hari  ini.
Aziz berkata demikian ketika diminta memberi respons kepada lima laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.
Satu  laporan dibuat oleh bekas ketua Pemuda PKR Ezam Mohd Nor manakala empat  lagi oleh NGO yang kritikal terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di  Selangor Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS).
Dalam  laporan masing-masing, mereka mendakwa, Aziz tidak sepatunya  mengeluarkan kenyataan itu kerana kuasa Sultan dalam hal ehwal Islam  termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri.
Namun Aziz mempertahankan tindakannya itu dan menafikan beliau mengeluarkan kenyataan yang mencabar kuasa Sultan.
"Saya rasa apa yang saya sebut itu tak ada masalah dalam ruang lingkup yang kita boleh komen.
"Ada lagi kenyataan yang lebih teruk tapi tak ada pulak laporan polis dibuat terhadap mereka," katanya.
Malaysiakini  Selasa lalu melaporkan Aziz sebagai berkata, tindakan Sultan Selangor  campurtangan berhubung isu DUMC bukan tindakan yang lazim.
Menurutnya,  walaupun sebagai ketua agama Islam negeri baginda mempunyai hak itu,  tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.
Sumber : Harakah Daily 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.