KUALA LUMPUR, 14 Okt: Pendedahan wujud 40,000 pemilih  'diragui' yang mahu dipamer oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)  kepada umum menimbulkan persoalan apa sudah jadi dengan Agency Link-Up  System (ALIS).
ALIS iaitu satu sistem yang menghubungkan  pengkalan data SPR dengan pengkalan data warganegara di Jabatan  Pendaftaran Negara (JPN).
Ianya digunakan bagi mengenalpasti individu yang mendaftar sebagai pemilih adalah sah sebagai warga negara.
"Sebelum  ini SPR begitu berbangga kerana mempunyai sistem yang dihubungkan  kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikenali sebagai ALIS  (Agency Link-Up System). 
"Sudah pastilah JPN mempunyai  pengkalan data yang paling canggih dalam negara kita. Tapi apa sudah  jadi dengan sistem ini," soal Exco Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.
Beliau  yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi dewan itu turut  mempersoal adakah JPN tidak memiliki identiti semua warga negara  Malaysia sehingga perlu dipaparkan kesemua 40 ribu pemilih yang  meragukan kepada media.
Sepatutnya dengan sistem ALIS itu katanya, SPR dan JPN sudah mampu membezakan antara pengundi asli dan pengundi palsu.
"Mengapa baru sekarang SPR menyedari pemilih yang meragukan. Apakah sebelum ini SPR tidak menyedarinya?
"Kalau tidak menyedarinya bagaimana status pilihan raya ke-12 yang penuh dengan daftar pemilih yang tercemar," soalnya lagi.
Selain  itu beliau turut mempersoal apakah SPR sudah tidak yakin dengan JPN  kerana kelemahan sistem pengkalan datanya sehingga terpaksa dipamer  kepada umum.
Ke mana hilang 10,000 lagi nama
Sementara  itu, beliau mahu SPR menjelaskan ke mana hilangnya sejumlah 10,000 lagi  nama yang sebelum ini didakwa sedang di siasat oleh mereka.
"Dalam  kenyataan media yang terbaharu Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof telah  mendedahkan bahawa terdapat 40 ribu pengundi yang diragukan. 
"Sedangkan  sebelum ini kenyataan yang dikeluarkan oleh SPR bahawa terdapat 50 ribu  pemilih yang sedang disiasat. Saya tidak tidak pasti bagaimana 10 ribu  pemilih hilang secara tiba-tiba," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS  Johor.
Pun begitu, beliau turut mengucap syabas kepada Pengerusi  Suruhanjaya Pilihan Raya,Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof kerana akhirnya  akur bahawa daftar pemilih SPR perlu dibersihkan. 
Beliau juga mahu usaha Pemuda PAS membongkar segala kelemahan dalam sistem pilihan raya tidak lagi diperlekeh SPR.
sumber : Harakah Daily 
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.