PETALING JAYA, 14 OKT – Kontroversi pengambilan tanah untuk pembinaan  sistem pengakutan MRT menunjukkan bahawa rakyat berada di pihak yang  benar apabila membantah tindakan kerajaan Barisan Nasional  menyalahgunakan Kanun Tanah Negara.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua yang mengalu-alukan  kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Datuk Azhar Abdul Hamid semalam  yang berjanji bahawa segala warisan Jalan Sultan tidak akan dirosakkan,  menyifatkan bantahan penduduk tempatan sebelum ini memang kena pada  tempatnya dan telah mencapai kejayaan.
“Kenyataan Datuk Azhar bertentangan dengan jawapan Timbalan Menteri  di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang sebelum ini berkata  tidak ada jaminan untuk mengembalikan hak milik tanah di kawasan itu  kepada pemilik asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, kenyataan  Azhar itu menolak kenyataan Prasarana Bhd, bekas pemilik MRT, yang  sebelum ini menyimpulkan bahawa tiada jaminan untuk menangani pembinaan  terowong bawah tanah itu tanpa menjejaskan pemilik tanah.
“Seperti yang ditekankan berkali-kali dalam tempoh kontroversi ini,  Kanun Tanah Negara 1965 telah secara khusus dipinda pada tahun 1990  untuk membolehkan pengambilalihan tanah bawah tanah tanpa menjejaskan  harta permukaan dengan memasukkan Bahagian Lima (A) (seksyen 92A hingga  92G) di bawah Fasal 3.
“Pindaan ini membolehkan pelupusan tanah di bawah tanah, yang sama  ada boleh beri hak milik itu atau dipajak untuk kegunaan untuk membina  terowong, tempat letak kereta dan pemasangan paip,” katanya.
Justeru itu, Pua berkata bagi mengelakkan sebarang keraguan, MRT  perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa tiada permukaan tanah akan  diambil secara paksa dan hanya digunakan atas nama kerja pembinaan  semata-mata.
“Tiada sebidang tanah pun yang boleh diperoleh hanya semata-mata bagi menjana keuntungan kerajaan,” katanya.
Dalam masa sama, Pua menyeru rakyat agar berani bersuara menyuarakan  hak-hak dan tuntutan mereka bagi memastikan bahawa rakyat tidak menjadi  mangsa kepada cengkaman kuasa kerajaan.
“Sebagai contoh, perhimpunan aman Bersih 2.0 telah berjaya menekan  kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai  reformasi sistem pilihanraya.
“Walau pun tidak ada jaminan, lebih-lebih lagi jika pilihan raya  diadakan sebelum pembaharuan sistem pilihan raya diadakan, ia  sekurang-kurangnya adalah satu langkah ke hadapan dalam sistem politik  negara,” katanya.
Menurutnya, kemarahan rakyat Malaysia juga telah membawa kepada  pengumuman oleh Perdana Menteri yang  berjanji memansuhkan undang-undang  zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Tindakan-tindakan itu membuktikan bahawa tekanan rakyat dan tekanan  politik untuk membetulkan kesalahan dan penyalahgunaan kuasa akan  menghasilkan kejayaan, ujarnya.
Beliau menambah bahawa sepatutnya lebih ramai rakyat Malaysia tampil  ke hadapan untuk bersuara dan mengambil bahagian mempertahankan hak  asasi dan hak-hak mereka.  – Roketkini.com
 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.