28 Dec 2011

Tahun 2012: Tercapaikah impian orang tua?

Dalam awal usia 40-an, sepupu isteriku meninggal dunia secara tiba-tiba, meninggalkan isteri dan empat orang anak.  Tidak sempat melangkau masuk ke tahun 2012, beberapa orang ahli politik juga meninggal dunia dan tidak berpeluang menyaksikan perubahan besar yang mungkin mengambil tempat apabila Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) diadakan nanti.

Saya yang masih hidup sering memikirkan: Berapa lama lagi saya akan diberikan nafas untuk meneruskan hayatku?  Saya juga sering kenang kembali, setelah tsunami politik melanda tanah air kesayanganku pada 8 Mac 2008, sesetengah orang tua yang masih muda dari segi semangat berjuang demi kemajuan tanah air meluahkan perasaan kegembiraan yang luar biasa.  Bagi orang tua yang mahukan perubahan yang lebih baik untuk tanah air dan anak cucu tersayang, diberikan nafas untuk melibatkan diri dalam perjuangan dan menyaksikan perubahan besar tercapai adalah sesuatu yang cukup bermakna kepada dirinya.
Sebelum 8 Mac 2008, ramai orang tua merasakan diri mereka mungkin tidak berpeluang menyaksikan perubahan sedemikian.  Kerana itu, apabila tanah air kesayangan kita menjalani dan mencipta sejarah yang luar biasa untuk dirinya pada 8 Mac 2008, kedengaran perkataan "keajaiban" digunakan untuk menjelaskan apa yang telah berlaku. 

Bagi orang tua yang masih hidup hari ini, "keajaiban" pertama semenjak laungan Reformasi mengepung ibu kota telah menjadi pengalaman unik yang dikongsi sesama mereka, kini yang dinanti-nantikan ialah "keajaiban" kedua yang dijangkakan berlaku dalam tahun 2012.  Keistimewaan golongan tua ialah, mereka telah menjalani hidup yang panjang dan telah mengharungi segala percubaan hidup.  Mereka tahu benar, apa yang dimaksudkan sebagai keajaiban bukanlah sesuatu yang dapat dinanti-nantikan tanpa diambil tindakan yang sewajanya.  Kerana itu, apabila keajaiban berlaku, orang tua mengalirkan air mata mengenang kembali peristiwa-peristiwa lampau yang menyumbang kepada keajaiban dan bagaimana orang tua telah memainkan peranannya.

Semasa melangkau masuk ke tahun 2009, saya pernah membisik kepada diriku, tahun 2008 ialah tahun keajaiban dan tahun impian orang tua tercapai buat tanah air kesayangan kita.  Kini tinggal beberapa hari lagi untuk melangkau masuk ke tahun 2012, saya membisik kepada diriku sekali lagi, bahawa tahun 2011 ialah tahun demonstran dan tahun wang rakyat dlembukan.

Kebangkitan rakyat merentasi etnik dan memainkan peranan demonstran secara aman - sebahagian daripada kewajipan seorang warganegara - terserlah semasa perhimpunan-perhimpunan yang menuntut kebebasan akademik dan mahasiswa-mahasiswi, pembaharuan sistem pilihan raya, pembantahan aktiviti ekonomi yang memudaratkan alam kehidupan dan ekologi, pembantahan akta baharu atau pindaan akta sedia ada yang menghina maruah seorang manusia dan seumpamanya, telah mewarnakan kedinamikan pembangunan tanah air sepanjang tahun 2011.  Persamaan am antara perhimpunan-perhimpunan seumpama ialah pembentukan bangsa Malaysia bermaruah di mana tertanamnya semangat kekitaan yang semakin kuat dalam kalangan rakyat terbanyak.  Dengan kata lain, rakyat terbanyak bergerak bersama-sama mengharungi masa depan tanah air tanpa mengira perbezaan etnik.

Walau bagaimanapun, usaha membentuk harapan baharu Malaysia yang diungkapkan di sini bukanlah mengikut trajektori kemajuan yang linear.  Halangan senantiasa wujud, selain agenda perkauman yang dimainkan oleh ahli politik demi kelangsungan hayat rejim pemerintah, banyak skandal telah ddedahkan.  Yang masih dalam ingatan saya ialah, skandal lembu menjajah kondo melibatkan keluarga menteri, mahligai seorang Menteri Besar, akaun peribadi seorang menteri digunakan untuk menerima sumbangan bukan peribadi, pemerolehan kerajaan di mana harganya berlipat ganda lebih tinggi daripada harga pasaran (kononnya tidak mengandungi elemen korup) seperti laptop dan pencetak yang harga pasarannya RM3,428 dibeli dengan harga RM11,845, binocular yang harga pasarannya RM2,827 dibeli dengan harga RM56,350 dan kereta perisai yang harga pasarannya RM4.5 juta dibeli dengan harga RM29.4 juta. (sila lihat Jadual 1)
Pemerolehan Kerajaan Harga Pasaran (RM) Harga Pemerolehan Kerajaan (RM) Perbezaan (Peratus)
Laptop dan Pencetak 3,428 11,845 245.54%
Binocular 2,827 56,350 1893.28%
Kereta Perisai 4.5 juta  29.4 juta  553.33%
Jadual 1: Perbandingan harga pemerolehan kerajaan dengan harga pasaran
Senarai skandal dan pemborosan yang kononnya tidak mengandungi elemen korup cukup panjang.  Sama ada media melaporkannya atau tidak, kesannya terhadap pembangunan Negara cukup besar.  Kerana itu, saya juga memilih wang rakyat dilembukan di samping demonstran yang juga menjadi pilihan media antarabangsa bagi melambangkan peristiwa penting tahun 2011.

Kalau pilihan kedua-dua perkataan dan frasa kata saya bagi tahun 2008 yakni keajaiban dan impian orang tua tercapai lebih merupakan sesuatu yang indah, pilihan saya bagi tahun 2011 yakni demonstran dan wang rakyat dilembukan lebih merupakan sesuatu yang agresif.  Indah kerana impak besar yang dirasai masyarakat secara amnya ekoran keputusan PRU Ke-12.  Agresif kerana dalam konteks kekayaan Negara, wang rakyat dan hak rakyat dilembukan, satu lagi peluang keemasan untuk rakyat terbanyak bergerak bersama mencipta sejarah baharu tanah air kesayangan kita kini terbuka luas di depan kita.

Kalau kita mahu kekalkan semangat kekitaan malahan memperkukuhnya, pada masa yang sama menolak parti politik dan politikus yang memainkan agenda perkauman; kalau kita mahu memberhentikan skandal yang melembukan wang rakyat atau secara am kekayaan Negara secara besar-besaran, tahun 2012 ialah tahun perubahan.

Perubahan yang dituntut bukan sekadar retorik dan program transformasi yang dirancang kerana sebuah parti politik berdepan dengan krisis kehilangan tampuk pemerintahan.  Perubahan yang dituntut ialah pembaharuan secara menyeluruh dan perubahan dasar yang dapat mengangkat maruah rakyat terbanyak, bukan maruah segelintir elit politik dan kroni.

Untuk mencapai impian tersebut, kita perlukan sebuah parti pemerintah yang mempunyai idealisme dan mampu menterjemah idealisme kepada dasar yang membawa kebaikan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat terbanyak.  Tidak kira betapa banyak retorik transformasi yang dipaparkan dalam akhbar saban hari, parti yang lama kehilangan idealisme yang menjadi landasan asal perjuangannya tidak mampu membawa pembaharuan yang dituntut rakyat terbanyak selaras dengan semangat zaman.

Jangan kita pandang ringan terhadap kemampuan diri untuk bersama-sama membangunkan Negara, dan mengimpikan lahirnya bangsa Malaysia yang bermaruah dan mempunyai idealisme!  Sama ada saudara-saudari seorang pegawai agensi kerajaan, guru, askar, polis, pegawai perubatan, peneroka FELDA, pelajar universiti, pemandu bas atau teksi, peniaga atau suri rumah tangga, kita berkongsi nasib yang sama: Bertapak atas bumi Malaysia - tanah air kesayangan kita yang penuh dengan segala kekayaan dan kemungkinan - kita bersama-sama bergerak dan membuat keputusan berani demi melahirkan Malaysia yang dapat memanfaatkan kekayaan Negara untuk pembangunan Negara dan membentuk bangsa Malaysia bermaruah yang dapat memanfaatkan hasil ekonomi demi pembangunan insan secara manusiawi dan secara menyeluruh.

Dr.Yılmaz Akyüz, bekas Ketua Ahli Ekonomi dan Pengarah, Bahagian Globalisasi dan Strategi Pembangunan di UNCTAD, dalam rencana "The Global Economic Crisis and Asian Developing Countries: Impact, Policy Response and Medium-Term Prospects" menunjukkan bahawa, semenjak krisis kewangan Asia 1997/98, ekonomi Malaysia biarpun mengalami pertumbuhan tetapi secara am, pertumbuhannya lebih rendah daripada pertumbuhan entiti ekonomi sedang membangun dan baharu muncul (DEEs – developing and emerging economies).

Menurut Dr.Yılmaz Akyüz, purata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Malaysia sepanjang tahun 1991-2000 ialah 7.1%, lebih tinggi daripada purata DEEs iaitu 3.6%, tetapi purata KDNK sepanjang tahun 2002-2007 ialah 5.9%, lebih rendah daripada purata DEEs iaitu 7.0%;  malahan, kadar KDNK Malaysia pada tahun 2008 dan 2009, yakni masing-masing 4.6% dan -1.7%, juga lebih rendah daripada pencapaian DEEs, yakni masing-masing 6.1% dan 2.4%. (sila lihat Jadual 2)
Tahun
1991-2000 2002-2007 2008 2009
Malaysia 7.1% 5.9% 4.6% -1.7%
DEEs 3.6% 7.0% 6.1% 2.4%
Jadual 2: Perbandingan KDNK Malaysia dengan DEEs
Melihat kepada angka ekonomi dan perbandingan di atas, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lemah.  Kalau dahulu angka ramalan yang diutarakan oleh pihak korporat menyokong angka Kerajaan Persekutuan, kini ramalan pelbagai pihak tidak menyokong angka Kerajaan Persekutuan.  Secara khusus, pihak korporat tidak lagi mengikut ramalan pertumbuhan ekonomi tahun 2012 sekitar 5 hingga 6% yang diutarakan oleh Perdana Menteri Najib.

Meskipun PEMANDU mendakwa bahawa rakyat terbanyak akan menjadi lebih miskin tanpa program transformasi, kalau diteliti perkembangan ekonomi Malaysia berlandaskan kajian para ahli ekonomi, satu realiti yang sukar diungkapkan secara terbuka ialah: rakyat terbanyak akan menjadi lebih miskin tanpa perubahan tampuk pemerintahan.  Kerajaan Najib hanya mampu melakukan transformasi yang masih terperangkap dalam budaya involusi, kita perlukan kerajaan baharu yang mampu melakukan perubahan menjangkaui retorik dan program transformasi.
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.