Persatuan Penyelidikan Air dan TenagaMalaysia (AWER) ingin mengucapkan
tahniah kepada Suruhanjaya Tenaga kerana mengambil langkah berani untuk
membuka bidaan terbuka bagi menggantikan PPA generasi pertama.
Pembukaan
bidaan kepada entiti yang mempunyai equiti daripada luar negara
sehingga 49% akan membantu Malaysia membawa lebih banyak pemain industri
untuk melabur dalam teknologi yang lebih baik dan cekap (efficient).
Kami berharap untuk melihat entiti perniagaan yang berkebolehan
menguruskan loji-loji penjanaan ini melalui proses bidaan terbuka yang
telus dan adil.
AWER juga menyeru kepada Suruhanjaya Tenaga
supaya Penjana Bebas (IPP) generasi pertama yang tidak berunding semula
tidak dibenarkan (disenarai-hitamkan) untuk membuat bidaan untuk projek
ini dan mana-mana projek penjanaan yang baru selepas ini. Penyenaraian
hitam ini juga patut dipanjangkan kepada pemegang-pemegang saham dan
ahli-ahli lembaga pengarah daripada Penjana Bebas, anak syarikat serta
syarikat induk Penjana Bebas tersebut. Tiada pemegang saham dan ahli
lembaga pengarah ini dibenarkan untuk terlibat dalam bidaan projek
penjanaan baru melalui sebarang syarikat baru atau entiti tertentu.
Kerajaan juga tidak perlu risau dalam langkah membuang lintah darat
sebegini kerana ia adalah sesuatu yang betul untuk dilaksanakan dan
berdasarkan prinsip perniagaan yang biasa. Ia juga akan membantu untuk
melindungi kepentingan negara.
Tambahan pula, sistem penetapan
tarif yang telus mesti dilaksanakan. Ini adalah beberapa langkah yang
mesti dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Tenaga,
Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA):
I. Audit perbelanjaan model (capital expenditure - CAPEX) dan perbelanjaan operasi (operational expenditure - OPEX) untuk penjanaan, penghantaran, pembahagian dan perkhidmatan sokongan.
II. Menanda aras (benchmarking) kos perkhidmatan bekalan elektrik mengikut taraf antarabangsa.
III.
Pembezaan kos-kos melibatkan perkhidmatan elektrik dan bukan
perkhidmatan elektrik. Perkhidmatan bukan elektrik seperti kos operasi
sebuah universiti tidak patut ditanggung melalui tarif elektrik.
IV.
Pelaburan semula merupakan langkah penting untuk memastikan kecekapan
berterusan dalam penjanaan dan bekalan elektrik untuk meminimumkan kos
operasi.
V. Penetapan tarif secara punitif dan perlu mewakili penggunaan setiap sektor. Tarif Khas Industri (Special Industry Tarif) mesti dimansuhkan.
VI.
Penglibatan semua lapisan masyarakat dalam proses penetapan tarif untuk
memastikan ketelusan dan pemahaman jelas adalah komponen penting.
VII. Mekanisma penyaluran kos bahan api (fuel cost pass-through mechanism)
yang telus mesti dilaksanakan untuk memastikan kos bahan api yang
sesuai dan kecekapan penjanaan ditetapkan pada nilai optimum.
Kerajaan
Persekutuan mesti BERKERAS dalam melindungi kepentingan rakyat dan
pembangunan negara. Malaysia memerlukan industri elektrik yang cekap
dan efektif untuk memastikan kita dapat bersaing dalam situasi ekonomi
global yang kompetitif.
*S.Piarapakaran (gambar kiri) selaku Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.