KUALA LUMPUR, 28 Disember: Cadangan Kerajaan BN untuk
melaksanakan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang kini
ditentang hebat oleh kakitangan kerajaan, diyakini mempunyai muslihat
tertentu khususnya bagi mengurangkan agensi dan kakitangan sektor awam.
Keyakinan
tersebut didasarkan kepada beberapa perkembangan semasa, apatah lagi
sebelum SBPA dilaksanakan, langkah ke arah itu telah pun dibuat oleh
kerajaan.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, realiti
itu antara lain terserlah apabila dirujuk kepada langkah penutupan
Jabatan Perkhidmatan Pembentungan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi
Hijau dan Air (KeTTHA) baru-baru ini.
Menurutnya, dengan langkah
itu, kerajaan ternyata telah mengecilkan sektor awam dan mengurangkan
kakitangan sektor awam, apabila kesemua kakitangan yang berada di bawah
Indah Water Konsortium (IWK) akan diserapkan ke sebuah syarikat baru
yang akan ditubuhkan, National Sewerage Services Company (Nasco) dan
akan diswastakan sepenuhnya kemudiannya.
Katanya, sedangkan IWK
itu berada di bawah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan yang juga agensi
kerajaan, tetapi apabila kakitangan-kakitangan terbabit diserapkan ke
dalam Nasco nanti, mereka tidak lagi akan menjadi kakitangan kerajaan.
"Maklumat yang kami perolehi berhubung perkara itu pula, 98 peratus kakitangan IWK tidak bersetuju untuk diserapkan ke Nasco.
"Sebahagian
besar daripada mereka itu adalah kakitangan di bahagian teknikal, para
profesional yang berkepakaran tinggi termasuk engineer dan sebagainya,"
katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.
Punca
kakitangan-kakitangan terbabit tidak bersetuju diserapkan ke dalam
Nasco, menurut beliau, tidak lain kerana mereka tidak bersetuju dengan
dasar kerajaan untuk menswastakan sektor awam.
"Jika selama ini
mereka sudah berada di dalam sektor awam, kenapa pula mereka mesti
menjadi kakitangan swasta? Sedangkan dengan penyerapan itu, mereka akan
kehilangan pelbagai keistimewaan sebagai kakitangan sektor awam,"
katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Walaupun sedar
kakitangan sektor awam tidak bersetuju dengan tindakan tersebut,
Kerajaan BN tetap dengan keputusannya untuk menutup Jabatan Perkhidmatan
Pembentungan, tanpa mempedulikan risiko yang akan ditanggung oleh
rakyat.
"Pada hal dengan pembukaan Nasco itu nanti, kerajaan
terpaksa mengeluarkan peruntukan khas sebanyak RM200 juta daripada wang
Tabung Amanah Pembentungan," tegasnya.
Selain itu, hutang IWK
sebanyak RM1.5 bilion daripada kerajaan akibat kerugian yang
ditanggungnya selama ini akan turut dilupuskan oleh kerajaan.
"Lain-lain
geran yang bernilai RM7 bilion juga akan diserahkan kepada Nasco nanti.
Pada hal penutupan IWK dan digantikan dengan Nasco itu sebenarnya
hanyalah proses ubah nama sahaja dan ia tidak lebih dari itu bagi
manfaat rakyat," tambahnya.
Manakala kerugian yang ditanggung
oleh IWK itu pula selama ini, tegas beliau, adalah berpunca dari
pertindihan pengurusan di dalam badan itu sendiri, akibat kesilapan
dasar Kerajaan BN sendiri.
Kakitangan IWK khususnya di bahagian
teknikal sahaja yang tidak bersetuju dengan penyerapan ke dalam Nasco
itu berjumlah tidak kurang 120 orang, manakala langkah kerajaan itu pula
pasti akan mengurangkan kakitangan profesional yang berkepakaran tinggi
di dalam sektor awam.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.