KUALA LUMPUR, 27 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP
Malaysia) memandang serius dakwaan bahawa setiausaha sulit kanan
Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menerima
sogokan.
Dalam laporan yang dikeluarkan oleh media pada hari ini mendakwa
Setiausaha Sulit kanan TPM, Mohd Shukor Abdul Manan menerima lebih
daripada RM100,000 sebulan.
“Bagi DPP Malaysia, dakwaan seperti ini amat berat dan memerlukan
siasatan terperinci kerana ia melibatkan integriti dan nama baik
Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
“Dalam hal ini, TPM perlu membersihkan namanya dengan bersikap berani
dan telus menyiasat secara menyeluruh dakwaan tersebut,” kata ketua
penerangannya, Riduan Mohd Nor.
Katanya, Muhyiddin tidak perlu menyembunyikan kebenaran sekalipun
kebenaran itu amat pahit untuk ditelan kerana melibatkan orang
kepercayaan beliau.
Jika benar dakwaan tersebut, ujarnya TPM itu perlu mengambil tindakan tegas terhadap setiausaha sulit kanannya.
Ini, katanya sebagai suatu hukuman bahawa kedudukan sebagai orang
penting dan di tempat strategik bukan boleh disalahgunakan untuk
kepentingan peribadi.
Ia juga, tambah beliau sebagai peringatan bahawa amanah bukan suatu
yang boleh dipandang ringan, melainkan ia perlu ditunaikan dengan
sebaiknya.
Jika dakwaan tersebut pula tidak benar, ujarnya TPM perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar dakyah tersebut.
Menurtnya lagi, fitnah dan spekulasi tidak boleh dibiarkan berleluasa
oleh pihak tertentu yang dengki kerana ia boleh menjatuhkan maruah dan
harga diri seseorang.
Belia berkata, budaya fitnah adalah budaya yang tidak sihat yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara ini.
Katanya, DPP Malaysia mengingatkan bahawa isu rasuah dan
penyelewengan kuasa merupakan teras terhadap kejayaan atau kegagalan
kepemimpinan negara.
Baginya, pemimpin yang berjaya bukan setakat diukur terhadap prestasi
kerjanya semata-mata, lebih dari itu bagaimana pemimpin tersebut
menunaikan amanah yang dipikulnya sebaik mungkin.
Ini, ujarnya termasuk mereka yang terlibat secara langsung sebagai pembantu dan pegawai pemimpin tersebut.
“Seseorang pemimpin akan dianggap gagal sekiranya beliau dan orang
bawahannya terkait dengan pelbagai skandal yang memburukkan nama beliau
dan parti pimpinannya meskipun hasil kerjanya cemerlang,” ujarnya.
Katanya, DPP Malaysia percaya rakyat Malaysia inginkan pemimpin
negara yang benar-benar bersih, jujur dan ikhlas dalam memberikan
sumbangan dan jasa bakti terhadap rakyat dan negara.
“Sebaliknya rakyat jemu dan benci terhadap pemimpin yang mengharapkan
sokongan rakyat, tetapi akhirnya mengaut keuntungan dan kekayaan untuk
kepentingan diri sendiri,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.