17 Oct 2011

Tubuh J/kuasa siasat kematian remaja di Glenmarie

(Oleh: Sidiqin Omar)

KUALA LUMPUR 7 Okt: Kematian tiga remaja yang ditembak polis seperti yang berlaku di Glenmarie, Shah Alam tahun lalu mungkin berulang sekiranya tiada  keazaman politik oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Justeru, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menuntut KDN  menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menyiasat latar punca ketiga remaja tersebut ditembak.
“Kita minta supaya ditubuhkan jawatankuasa siasatan. Mereka tidak ada rekod jenayah. Polis mengatakan bahawa mereka adalah Geng Minyak yang melakukan jenayah samun dan ditembak kerana cuba menyerang,” kata Johari.
Dalam kejadian tersebut,  Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, Hairul Nizam Tuah, 20 dan Muhammad Hanafi Omar, 22 ditembak mati oleh polis selepas dikejar pada awal pagi 13 November tahun lalu di Glenmarie, Shah Alam.

“Anehnya, laporan bedah siasat Hospital Tengku Ampuan Rahimah pada Ogos 2011 menunjukkan peluru menembusi badan dan kepala mangsa pada kedudukan 45 darjah.
“Pakar percaya mereka ditembak dari jarak dekat dalam keadaan berlutut. Ini kejadian yang sedih,” kata Johari ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Johari, sekiranya terdapat prosedur yang salah, maka anggota pasukan keselamatan yang terlibat dengan jenayah itu perlu dihukum.
“Ini bagi menjelaskan kepada keluarga mangsa dan masyarakat tentang perkara sebenar yang berlaku dan membersihkan imej polis dari menjadi segelintir ‘kambing hitam’,” tegasnya.
Terdahulu dalam perbahasannya, beliau bersetuju dengan kenaikan elaun anggota keselamatan tentera dan polis.
Namun katanya, terdapat kes pesara tentera yang tidak mendapat pencen kerana tidak memenuhi kriteria perkhidmatan minima 21 tahun.
“Mereka tak diberi keutamaan. Ada yang berkhidmat selama 18 atau pun 20 tahun tidak mendapat pencen. Maka ramai diantara mereka yang terpaksa bekerja walaupun umur telah lanjut. Bagaimana dengan mereka ini?,” soal Johari.
sumber : Keadilan Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.