
Justeru saya mengambil peluang ini untuk mempelawa Najib Razak berdebat berkaitan kedudukan ekonomi negara dan persoalan berkaitan belanjawan. Debat tersebut seharusnya disiarkan secara langsung dan ditayangkan melalui televisyen ke seluruh negara.
Semenjak Pakatan Rakyat melancarkan Buku Jingga pada tahun 2010, saya sudahpun mempelawa Najib untuk berdebat. Wacana umum antara Pakatan Rakyat dan pentadbiran beliau pastinya memberi manfaat tidak terhingga kepada rakyat terutamanya ketika ekonomi negara memasuki wilayah yang tidak dikenali serta kegagalan pentadbiran beliau untuk melonjak ekonomi Malaysia.
Sewajarnya Najib Razak perihatin terhadap kebimbangan meluas berkaitan kenaikan kadar hutang negara, bukannya mengejek kekhuatiran tersebut.
Kadar hutang negara ditetapkan oleh pelbagai peruntukan undang-undang. Antara peruntukan tersebut adalah Akta 637 Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 (disemak 2004) dan Akta 275 Akta Pelaburan Kerajaan 1983, yang menetapkan gabungan pinjaman tempatan tidak boleh melewati kadar 55% dari KDNK Negara. Manakala Akta 403 Akta Pinjaman Luar Negeri1963 (disemak 1989) menghadkan pinjaman luar negeri pada RM 35 ribu juta pada sesuatu masa.
Selain dari kadar yang ditetapkan oleh peruntukan undang-undang, Perbendaharaan juga mengenakan peraturan ketat untuk diikuti demi mengukuhkan displin fiskal. Amalan ini malah ditetapkan sebelum dari saya menjadi Menteri Kewangan lagi. Sebagai contoh perbelanjaan pengurusan untuk tahun terbabit tidak boleh melebihi unjuran pendapatan. Begitu juga pinjaman yang dibuat kerajaan hanya untuk dibelanjakan demi pembangunan.

Laporan terkini Bank Negara Malaysia (dikemaskini 14 Oktober 2011) menunjukkan hutang negara kini berada pada RM 437 ribu juta pada suatu tempoh yang berakhir pada 30 Jun 2011. Jumlah tersebut merupakan pecahan dari RM 421 ribu juta hutang tempatan dan RM 16 ribu juta hutang luar negara. Ini bermaksud negara kini sudah berada pada 51% dari nisbah hutang tempatan kepada KDNK negara sepertimana yang ditetapkan oleh Akta 637 dan Akta 275, yang hanya membenarkan tambahan hutang sebanyak RM 33 ribu juta.
Oleh itu berdasarkan fakta ini adalah jelas kerajaan tidak mempunyai dana secukupnya untuk membiayai perbelanjaan selebihnya bagi tahun 2011 dan defisit RM 46 ribu juta untuk dibiayai oleh hutang lebihan sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2012.
Rakyat sedar unjuran pertumbuhan sebanyak 5%-6% yang diumumkan Najib dalam belanjawannya tidak tepat dan berkemungkinan besar pentadbirannya terpaksa bergantung kepada hutang demi membiayai janji janji pilihanrayanya.

*Kenyataan media oleh Anwar Ibrahim (gambar kiri) selaku Ketua Pembangkang Parlimen.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.