(Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR 17 Okt: Kementerian Dalam Negeri perlu bertanggungjawab terhadap pemberian kad pengenalan segera kepada 240 warga asing di Putrajaya, minggu lalu.Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menyerahkan dakwaan itu kepada Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen (PSC) untuk menambaibaik pilihan raya.
“KDN adalah salah satu kementerian yang terlibat secara langsung dalam pemberian kad pengenalan. Bukan PSC yang hanya boleh memberikan cadangan sahaja. Jadi dia (Hishamudin) kena jawab dulu, jangan lepas tangan,”
“KDN perlu bertanggungjawab dan jangan ambil jalan mudah,” kata Azmin.
Menurut Azmin, PSC memainkan peranannya selaku jawatan kuasa khas menyiasat dakwaan tersebut, namun agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jabatan Pendaftaran Negara, perlu bertanggungjawab.
“Pihak KDN, Suruhanjaya Pilihan Raya serta Jabatan Pendaftaran Negara yang akhirnya perlu bertindak dan bukan PSC,” katanya ketika ditemui Keadilandaily.
Ahli Parlimen Gombak itu turut membidas alasan kerajaan bahawa 240 warga asing berkenaan kononnya diberikan Kursus Keusahawan.
“Usahawan kita, IKS pun belum lagi dapat peluang kursus keusahawan dan mengapa kita nak melatih orang asing? Mereka adalah golongan pekerja dan yang tidak perlu pun latihan yang komprehensif. Mereka adalah buruh asing yang membantu dalam pembangunan negara,” tegasnya.
Azmin turut menjawab dakwaan Hishamuddin yang berkata Pakatan Rakyat selalu membuat dakwaan yang tidak berasas dan berunsur politik.
“Bukti yang telah kita kemukakan asalnya dakwaan, akhirnya terbukti benar. Ini kerana SPR sebelum ini pernah mengaku terdapat 40 ribu nama yang meragukan dalam daftar pengundi.
“Sebelum ini Hishamuddin berkata akan mengunakan platform yang lebih meluas seperti apa yang diwujudkan melalui jawatankuasa ini untuk menjawab setiap tuduhan yang dibangkitkan,” katanya.
Pemuda PAS minggu lalu dilaporkan mengepung sekumpulan 240 orang pendatang asing, kebanyakannya warga Bangladesh, Indonesia dan Kemboja, yang dibawa dengan tujuh buah bas ke Putrajaya.
Bagaimanapun, bas membawa pendatang asing itu bertukar hala menuju ke sebuah resort selepas maklumat itu dibocorkan.
sumber : Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.