17 Oct 2011

Tiada garis panduan, syarikat tempatan tumpu pelaburan luar

(Oleh: Nabihah Hamid)
KUALA LUMPUR 7 Okt: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan gagal memberi satu garis panduan bagi syarikat tempatan dengan tumpuan utama lebih diberikan kepada Pelaburan Luar Negara (FDI).
Disebabkan itu, katanya, syarikat tempatan lebih berminat melabur di luar negara berbanding Pelaburan Dalam Negeri (Domestic Investment) pada 2012.
“Syarikat seperti Khazanah, Institusi kewangan CIMB, Maybank dan Sime Darby telah melabur jumlah yang sebegitu besar di luar negara.
“Kalau ini berlaku, jelas pemain tempatan sendiri tidak yakin dengan keupayaan pasaran dalam negara dan mereka lebih suka mengambil risiko membuat pelaburan luar negara untuk bersaing,” kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Azmin berkata, faktor halangan untuk syarikat tempatan adalah apabila iklim pelaburan dalam Negara yang tidak kondusif dan tiadanya ransangan tempatan yang boleh meningkatkan pendapatan dalam Negara.
Tambahnya, masalah birokrasi yang serius kerana masalah kelulusan syarikat dan pemberian lesen juga menyekat keupayaan syarikat tempatan.
“Justeru kerajaan perlu mengubal satu garis panduan yang telus dan tuntas agar syarikat tempatan lebih yakin untuk melabur dalam Negara,” kata Azmin
Sebelum itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dalam perbahasan dewan rakyat hari ini mengakui kelemahan syarikat tempatan dan menegaskan perdana menteri telah membangkitkan isu itu dalam satu dialog bersama syarikat tempatan.
“Namun Kerajaan perlu beri jaminan agar melonggar syarat pelaburan kepada syarikat tempatan untuk melabur di dalam Negara agar tidak ada birokrasi dan lebih tuntas, tiada lagi flip-flop,” kata Azmin.
Sebelum ini Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mendedahkan Malaysia hanya memperoleh FDI berjumlah USD7 bilion bagi 2010, jauh ditinggalkan Singapura yang memperoleh sekitar USD37.4 bilion.
Sedangkan Indonesia, bukan sahaja berjaya mengelak kemelesetan ekonomi 2009 tetapi berjaya menarik aliran masuk FDI USD12.8 bilion bagi 2010, kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Singapura.
Anwar turut menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya mengakui wujud jurang besar antara pengumuman projek mega berbanding realiti sebenar ekonomi.
sumber : Keadilan Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.