17 Oct 2011

Himpun digesa fahami ancaman sebenar akidah

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 17 Okt: PAS Selangor menyeru penganjur Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun), menjauhkan diri dari sebarang usaha melaga-lagakan penganut agama hanya disebabkan dakwaan tanpa bukti mahkamah.

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Abd Rani Osman (gambar) berkata, biarpun Kristianisasi adalah satu ancaman, namun ancaman lebih besar yang sedang merosakkan akidah majoriti rakyat di negara ini adalah doktrinasi fahaman perkauman, sekularisme dan materialisme.
"Sebarang usaha melaga-lagakan antara penganut pelbagai agama dengan tidak beserta sebarang bukti kesalahan yang diputuskan mahkamah perlu dijauhi.

"Tindakan sebegini hanya bertujuan untuk menutup masalah sebenar yang menimpa umat Islam, di mana aqidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya yang pada akhirnya meletakan kesalahan itu dibahu pihak lain," katanya pada sidang media di Pejabat PAS Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasrat penganjur Himpun yang mahu mengadakan himpunan besar-besaran di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, sebagai tanda menentang sebarang percubaan penyebaran ajaran Kristian kepada orang Islam.

Katanya lagi, pemikiran umat Islam kini juga dirosakkan oleh pihak yang memperlekehkan hukum hudud dan yang membawa ideologi bahawa politik adalah berasingan daripada agama.

"Begitu juga penyelewengan dan rasuah dipandang remeh serta kesalahan-kesalahan merampas hak rakyat dan mencabul kepentingan awam diambil mudah oleh sebahagaian umat Islam," katanya yang juga Adun Meru.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak menumpukan kepada ancaman sebenar akidah umat Islam serta meminggirkan usaha pihak tertentu untuk menimbulkan ketengangan di antara agama di negeri Selangor.

Turut serta pada sidang media itu Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS), Noraini Hussein.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.