
Barangkali Najib tidak mengerti definisi sebenar adil menurut perspektif yang betul. Untuk itu, DPPM ingin menanyakan beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Najib bagi membuktikan bahawa kenyataannnya betul.
Dalam sejarah pilihanraya umum berlangsung sejak dahulu sehingga sekarang, bilakah media milik kerajaan UMNO-BN benar-benar bersih daripada kongkongan parti pemerintah UMNO-BN? Setahu DPPM, tidak pernah media rasmi negara bebas dalam melaporkan hal yang sebenarnya. PAS dan Pakatan Rakyat sejak dahulu tidak pernah mendapat liputan yang adil daripada media rasmi. Malah pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat selalu ditujah dan diserang dari pelbagai penjuru bagi memburukkan imej PAS di mata masyarakat. Pernahkah kerajaan Najib memberi kebebasan untuk pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat tampil di media rasmi negara bagi berkempen sebagaimana pemimpin UMNO perolehi setakat ini?

Dalam soal berkempen, apakah Najib lupa bahawa UMNO-BN selalu bertindak berat sebelah? Seluruh jentera kerajaan dikerah bagi berkempen dalam sesebuah pilihanraya, sama ada pilihanraya kecil atau umum. Para guru, pegawai kerajaan, tentera, polis dan lain-lain digunakan sebagai alat berkempen. Seolah-olah pilihanraya kecil atau umum adalah milik UMNO-BN. Adakah Najib mahu menafikan hal ini, dan adilkah sebuah kerajaan melawan sebuah parti pembangkang dalam pilihanraya?

Adil yang paling benar bagi Najib adalah merahsiakan tarikh pilihanraya umum. Tarikh pilihanraya seakan suatu rahsia besar yang perlu dielak dari dikongsikan bersama rakyat Malaysia. Biarlah pembangkang "terkulat-kulat" membuat persiapan apabila secara tiba-tiba pilihanraya umum dipanggil pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Najib. Bagaimana jika Pakatan Rakyat melakukan hal yang sama, dan BN yang menjadi pembangkang pula dalam keadaan tidak bersedia apabila tiba-tiba berlaku PRU?
Pakatan Rakyat memenangi banyak negeri di Semenanjung bukan membuktikan BN itu adil, tetapi ia membuktikan bahawa rakyat telah melihat kebenaran. Kebenaran tidak boleh disorok, maka kejahatan yang dibuat tidak mampu menenggelamkan kebenaran yang diterima rakyat.
Ini adalah sedikit dari pelbagai bukti kepincangan yang berlaku dalam Pilihanraya era BN. Najib seakan menghidap "sindrom penafian" bahawa BN sejak sekian lama, merosakkan sistem demokrasi dan pilihanraya di negara ini. Buat Najib, belajarlah mengenal erti keadilan dari perspektif rakyat dan umum, bukan dari kacamata BN semata-mata!
*Kenyataan media oleh Riduan Mohd Nor selaku Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.