KUALA LUMPUR, 4 Jan: Pihak
pentadbiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diingatkan agar
tidak menjadikan universiti itu sebagai 'institusi pengajian rimba' di
negara ini dengan tidak menghormati proses keadilan.
Tindakan
UPSI menyingkirkan salah seorang pelajarnya, Siti Nurul Piteriah Abdul
Halim dari kolej kediaman Aminuddin Baki kampus itu yang terlibat dalam
demonstrasi aman di hadapan pusat pengajian itu malam 1 Januari lalu,
bagaimanapun jelas memperlihatkan sikap universiti tersebut yang
mendahului proses undang-undang.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar)
berkata, pada hal pihak pentadbiran UPSI tidak sepatutnya mengenakan
tindakan seperti itu terhadap pelajar terbabit kerana beliau tidak pun
disahkan bersalah oleh mahkamah.
Menurutnya, malah kes pelajar
terbabit belum pun dibawa ke mahkamah untuk diadili, tetapi bagaimana
pula UPSI boleh mengatakan pelajar tersebut bersalah.
Katanya,
sekiranya pihak UPSI mengatakan Siti Nurul Piteriah bersalah kerana
melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), perkara itu juga
mestilah diputuskan oleh mahkamah.
"Pihak pentadbiran UPSI tidak
boleh bertindak sesuka hati ke atas pelajarnya dengan mengatakan
pelajar terbabit bersalah hanya atas alasan melanggar peraturan
universiti itu, sedangkan pelajar berkenaan belum pun diputuskan
bersalah oleh mahkamah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini,
hari ini.
Seorang mahasiswi UPSI, Siti Nurul Piteriah Abdul
Halim yang terlibat dalam demonstrasi aman yang mencederakan dua pelajar
dan membawa kepada penangkapan 17 pelajar lain di hadapan pusat
pengajian tinggi itu malam 1 Januari lalu telah disingkirkan dari kolej
kediaman universiti tersebut. Menurut penyelaras kumpulan
Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim, pelajar wanita
itu dimaklumkan keputusan tersebut kelamrin selepas beliau dibebaskan
daripada tahanan polis.
Adam Adli seperti yang dilaporkan media
tempatan berkata, Siti Nurul Piteriah telah disingkirkan dari kolej
kediaman Aminuddin Baki, manakala seorang lagi pelajar universiti itu,
Alif Ashraf, yang turut mengambil bahagian dalam demonstrasi tersebut
juga mungkin menghadapi tindakan disiplin, tetapi belum disahkan.
Bagaimanapun,
media hari ini turut melaporkan, Siti Nurul Piteriah akan terus menetap
di asrama berkenaan sehingga notis rasmi diberikan kepadanya.
"Saya
masih di kolej. Setakat ini saya hanya diberikan notis lisan daripada
rakan-rakan kolej, yang memetik pesanan "dari pihak atasan".
"Selagi
tidak ada notis (rasmi), saya akan tetap tinggal di sana. Itu adalah
hak saya," kata pelajar diploma Kesusasteraan Melayu itu.
Siti
Nurul Piteriah menjelaskan, beliau dimaklumkan untuk mengosongkan asrama
kediamannya berkuatkuasa serta-merta, jam 9.30 malam, selepas dia
dibebaskan pada sebelah petang hari demonstrasi berkenaan.
Menurut
Mahfuz, PAS amat kesal dan mengecam keras tindakan UPSI itu kerana ia
telah menyebabkan pusat pengajian itu kini telah bertukar menjadi
institusi pengajian rimba di negara ini.
Katanya, sebagai sebuah
pusat pengajian tinggi, pihak pentadbiran UPSI sewajarnya menghormati
undang-undang, tetapi tindakan tersebut jelas menunjukkan UPSI telah
mendahului proses undang-undang untuk melakukan sesuatu tindakan.
"Apakah
salah jika pelajar itu terlibat dalam demonstrasi? Jika pula dikatakan
menyalahi Auku, buktikahlah di mahkamah. Sedangkan Auku itu sendiri
telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyalahi
Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.
Beliau yang juga Ahli
Parlimen Pokok Sena berharap agar pihak pentadbiran UPSI menarik balik
penyingkiran terhadap Siti Nurul Piteriah dan pelajar lain yang terlibat
dalam demonstrasi tersebut.
|
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.