4 Jan 2012

Mohon maaf atau berdepan saman

IPOH, 4 Jan: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak memberikan tempoh tiga hari kepada Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak, Mohamad Annuar Ariffin untuk menarik balik kenyataan yang menuduh Unit Amal PAS sebagai dalang demonstrasi pelajar di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, jika gagal berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan, pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Annuar.

"Kami kesal dengan kenyataan tersebut dan mendesak agar Annuar menafikan kenyataan yang dikeluarkannya oleh Sinar Harian (muka surat 7) dengan segara atau berhadapan dengan tindakan Mahkamah," katanya merujuk kepada laporan di akhbar bahasa Melayu itu hari ini.
Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan oleh Annuar sungguh berat dan melampau kerana cuba mengaitkan perhimpunan Mahasiswa tersebut dengan PAS atau Dewan Pemuda PAS.

Sambil kesal dengan tindakan Annuar itu beliau juga mendakwa Pemuda Umno Perak sebenarnya tidak langsung mengambil sikap berbincang di atas meja rundingan malah tidak cakna kepada golongan Mahasiswa.

"Jika beliau enggan membuat demikian, kami akan meminta Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kami mengemukakan writ saman kepada Annuar selepas tempoh yang diberikan berakhir," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.