KUALA LUMPUR 3 Jan: Keganasan polis terhadap mahasiswa yang berhimpun
di Universiti Pendidikan Sultan Idris, 1 Januari lalu membuktikan
kezaliman Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan kerajaan baru-baru ini.
Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram), E Nalini berkata demikian
ketika menemani Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), yang
membuat laporan polis berhubung insiden itu, hari ini.
“Isu
utama yang kita juga perlu lihat dalam insiden ganas polis di UPSI itu
ialah di bawah RUU Perhimpunan Aman ini, nampaknya polis dibenarkan
mengganas terhadap rakyat yang berhimpun secara aman.
“Keselamatan rakyat menjadi mangsa dengan polis memiliki kuasa lebih
luas dengan boleh bertindak ganas terhadap rakyat yang berhimpun bagi
menyuarakan pandangan mereka,” katanya dalam sidang media bersama
Presiden KAMI, Haziq Abdullah Abdul Aziz di depan balai polis Dang
Wangi.
Sementara itu, Peguam dari Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa Fikri
berkata, keganasan polis berada di tahap melampau dan sudah tiba
masanya dihentikan serta-merta.
“Sudah tiba masanya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis
(IPCMC) dilaksanakan segera dan insiden di UPSI pada 1 Januari lepas
wajar menjadi bukti jelas betapa kita sangat memerlukan penubuhan
suruhanjaya ini.
“Kalau rakyat buat salah, kita lapor pada polis, tetapi kalau polis
buat jenayah, kita perlu lapor pada siapa? Di sinilah peranan sebenar
IPCMC,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak
melaksanakan segera IPCMC bagi menyiasat salah laku polis termasuk
insiden berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.