KUALA LUMPUR, 4 Jan: 68 orang bekas peneroka Felcra di
kawasan Kota Tinggi, Johor, hari ini memfailkan saman pemula terhadap
badan itu bagi menuntut pampasan akibat kerugian yang dialami oleh
mereka sejak 20 tahun lalu.
Saman tersebut difailkan di
Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada jam 9.30 pagi tadi, dengan ditemani
tiga orang peguam yang diketuai Sir Banded dari syarikat guamannya, Sir
Banded & Co.
Pengerusi Koperasi Perladangan Sungai Ara
Berhad, Daud Hassan, 58, memberitahu, saman yang difailkan oleh mereka
itu membabitkan tuntutan 9 perkara, dengan tuntutan utamanya melibatkan
ganti rugi yang dialami oleh mereka akibat tindakan tidak
bertanggungjawab badan tersebut terhadap para peneroka terbabit.
Menurutnya,
kesemua mereka menyertai Felcra di kawasan itu sejak 18 Januari 1975
lalu dengan bilangan keseluruhannya seramai 386 orang.
Katanya,
kumpulan mereka kemudiannya telah mengambil keputusan keluar dari Felcra
beberapa tahun lalu akibat tidak tertahan dengan tindakan badan
tersebut terhadap mereka dengan jumlah awalnya seramai 287 orang.
"Daripada
jumlah itu, yang terus kekal dengan kumpulan ini pada awalnya 77 orang,
kemudian tinggal 71 orang, tetapi kini tiga daripadanya telah meninggal
dunia dan yang masih ada hanyalah 68 orang sahaja," katanya yang juga
selaku ketua kepada kumpulan terbabit ketika dihubungi Harakahdaily, di
sini, hari ini.
Sepanjang menjadi peneroka Felcra, menurutnya,
beliau dan rakan-rakannya itu hanyalah menerima pendapatan bulanan tidak
lebih RM300 sebulan.
Selain itu, berdasarkan dokumen yang
diberikan oleh pihak Felcra kepada mereka, setiap peneroka terbabit akan
diberikan hak milik tanah seluas 10 ekar seorang untuk diterokai bagi
penanaman kelapa sawit.
"Pihak Felcra ternyata telah mendapat
keuntungan yang lumayan, tetapi sepanjang menjadi peneroka, kami hidup
penuh sengsara kerana hanya mempunyai pendapatan tidak lebih RM300
sebulan.
"Dengan pendapatan sebanyak itu, masakan cukup untuk
kami menampung kehidupan? Tambahan pula dalam masa yang sama, kami juga
terpaksa membayar hutang kepada pihak Felcra.
"Malah untuk hidup
dan membayar hutang, ada di antara kami yang terpaksa mencari katak dan
ular untuk dijual, selain menjual lembu dan kambing peliharaan
masing-masing," jelasnya.
Disebabkan tekanan itulah, mereka
mengambil keputusan keluar dari Felcra dan menuntut keadilan dari
mahkamah bagi membolehkan badan tersebut membayar pampasan kepada mereka
dengan kadar RM1,000 sebulan sejak 20 tahun lalu.
Selain itu,
mereka juga turut menuntut badan tersebut membayar ganti rugi terhadap
lebihan tanah yang diusahakan oleh mereka sebanyak 834 ekar kesemua.
Manakala
tuntutan ketiga berupa tuntutan terhadap potongan cukai, apabila mereka
dipaksa membayar cukai tanah walaupun tanah-tanah tersebut belum
diberikan hak milik sepenuhnya kepada mereka.
"Kami turut
menuntut Felcra membayar sebanyak RM10,000 seorang kepada setiap ahli
dalam kumpulan kami di atas kesengsaraan hidup yang kami alami sejak 20
tahun lalu," ujarnya.
Sementara tuntutan-tuntutan lain pula,
tambah beliau, lebih bersifat umum termasuk mendesak kesemua menteri dan
pemimpin-pemimpin Umno BN terbabit agar mengambil tanggungjawab di atas
segala penderitaan yang telah mereka alami sejak 20 tahun lalu.
"Sebelum
kami mengambil tindakan undang-undang pada hari ini, kami telah pun
merayu kepada beberapa pihak agar membantu menyelesaikan masalah kami
ini.
"Antaranya dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2010 yang diterima oleh
setiausahanya, menghantar surat kepada Timbalan Pengarah Felcra dan
Pengurus Besar Felcra yang juga pada tahun 2010 lalu.
"Tetapi
kesemua usaha kami itu hanya sia-sia dan kami amat kesal dengan apa yang
berlaku itu. Sepatutnya kami tidaklah diperlakukan seperti ini, tetapi
inilah yang telah kami alami sejak 20 tahun lalu dengan tiada siapa yang
peduli," ujarnya kesal.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.