KUALA LUMPUR 3 Jan: Anggota polis yang bertindak ganas pada himpunan
pro kebebasan akademik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 1
Januari lalu, perlu diheret ke mahkamah, tegas Kumpulan Aktivis
Mahasiswa Independen (Kami).
Presidennya, Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata, tindakan itu penting
bagi memberi keadilan terutama kepada mahasiswa yang menjadi mangsa
keganasan pihak berkuasa itu.
“Tindakan ini penting kerana kesalahan anggota polis pada malam itu
juga adalah satu jenayah dan polis tidak boleh melindungi atau
mempertahan anggota seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan bagi mewakili
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Kebebasan Akademik
(BEBAS) di balai polis Dang Wangi hari ini.
Haziq turut menegaskan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan tiada kejadian sama berulang selepas ini.
“Kalau tiada tindakan diambil terhadap anggota polis yang terlibat
dalam insiden malam itu, kita bimbang mereka akan melakukan lebih ganas
terhadap rakyat Malaysia lain selepas ini,” katanya yang juga mahasiswa
jurusan undang-undang dari Universiti Malaya.
Beliau turut membetulkan dakwaan sesetengah pihak, bahawa polis tidak
bertindak ganas terhadap Presiden Bebas, Muhammad Safwan Anang sehingga
mendatangkan kecederaan.
“Kami juga ingin tegaskan bahawa Safwan cedera kerana dikasari polis,
manakala pintu klinik itu hanya dipecahkan selepas pegawai klinik itu
enggan membuka pintu dan merawat Safwan.
“Keengganan pihak klinik merawat Safwan yang cedera teruk ketika itu
adalah satu kesalahan jenayah dan mencabuli hak asasi manusia,” katanya.
Pada 1 Januari lalu, BEBAS, SMM dan sekumpulan aktivis mahasiswa mengadakan himpunan pro-kebebasan akademik di depan UPSI.
Himpunan itu kecoh selepas polis mengganas sehingga menyaksikan
kira-kira 20 aktivis mahasiswa ditahan, Manakala Safwan Anang pula
terpaksa dikejarkan ke hospital akibat kecederaan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.