KEADILAN menyambut baik langkah melantik firma juruaudit untuk menyiasat
dan membongkar penyelewengan dana rakyat yang berlaku di dalam NFC,
seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri semalam.
Walau
bagaimanapun, keberkesanan audit yang bakal dijalankan dan keikhlasan
pentadbiran Najib Razak dalam menangani skandal ini akan bergantung
kepada skop audit dan bidang kuasa yang diberikan kepada firma juruaudit
yang dilantik kelak.
Oleh yang demikian, KEADILAN mencadangkan
enam skop utama audit yang memberi kuasa sepenuhnya kepada juruaudit
untuk menyiasat sepenuhnya NFC, seperti berikut:
1. Menyiasat
proses membuat keputusan di peringkat tertinggi kerajaan untuk
memastikan tiada campur tangan politik dalam meluluskan projek NFC serta
penganugerahan projek kepada keluarga menteri. Ini termasuklah
menyemak semua minit mesyuarat untuk menentukan keterlibatan setiap
menteri terbabit serta menilai sama ada projek NFC mempunyai daya
komersil untuk dibiayai kerajaan;
2. Menyiasat proses pemberian
dana kepada NFC oleh Kementerian Kewangan untuk menentukan ia mengikut
prosedur Perbendaharaan dan amalan terbaik (best practices). Ini termasuklah menyemak setiap pengeluaran dana (loan drawdown)
untuk menentukan bahawa ia menepati syarat perjanjian dan tidak ada
penipuan dokumen semasa permohonan mengeluarkan wang dibuat;
3.
Menyiasat setiap perbelanjaan oleh NFC untuk memastikan ia benar dan
tepat (true and fair) dengan matlamat penubuhan NFC. Ini termasuklah
memastikan bahawa setiap perbelanjaan adalah berpatutan, berpada-pada,
diluluskan dan ada kena mengena dengan aktiviti penternakan lembu
seperti yang dimandatkan kepada NFC;
4. Menyiasat setiap
pemindahan wang keluar dari NFC kepada pihak ketiga untuk memastikan
tidak ada unsur penyelewengan. Ini termasuklah menyiasat segala
pembelian harta, penubuhan syarikat-syarikat lain, perbelanjaan oleh
syarikat-syarikat lain yang ditanggung NFC dan segala operasi oleh pihak
ketiga yang ditanggung atau berkaitan dengan NFC;
5. Menyiasat
setiap pembelian aset oleh keluarga Shahrizat Jalil bermula dari tempoh
kontrak dianugerahkan sehingga sekarang, termasuk pembelian atas nama
peribadi untuk menentukan sama ada dana NFC telah digunakan bagi tujuan
peribadi; dan
6. Menyiasat setiap pembayaran besar dan berkala
oleh NFC dan syarikat-syarikat berkaitan keluarga Shahrizat Jalil untuk
menentukan latar belakang pembekal dan individu terbabit yang berurusan
dengan NFC. Ini bertujuan memastikan dana NFC tidak digunakan bagi
membiayai kegiatan politik Shahrizat Jalil atau mana-mana individu lain.
Saya
percaya enam skop audit ini akan memberi peluang kepada rakyat menilai
sendiri setakat mana berlakunya penyelewengan di dalam NFC. Ia bakal
menguji sama ada Muhyiddin Yassin benar-benar ikhlas menyiasat
penyelewengan yang berlaku apabila beliau mengumumkan perlantikan firma
juruaudit semalam.
Oleh
itu, saya mengesyorkan supaya terma perlantikan dan skop audit
diumumkan kepada rakyat apabila lantikan dibuat. Salah satu terma
lantikan mestilah mewajibkan juruaudit membentangkan keputusan siasatan
dan kesimpulan yang dibuat di dalam sidang Dewan Rakyat yang akan
bersidang dalam bulan Mac ini.
Sekiranya kerajaan enggan
menerimapakai keenam-enam skop ini, ia bermakna pentadbiran Najib Razak
tidak serius mencari penyelesaian kepada skandal NFC yang berlarutan.
Jika ia sampai ke peringkat itu, saya bersetuju dengan cadangan Lim Kit
Siang dan pendirian kepimpinan PAS bahawa sebuah Suruhanjaya Diraja
ditubuhkan
untuk membongkarkan segala penyelewengan yang berlaku di dalam NFC.
*Kenyataan media oleh Mohd Rafizi Ramli (gambar kanan) selaku Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.