"Jangan buang masa, tumpu kepada
Selangor. Nanti sibuk di Kampung Bharu, Selangor terlepas kepada
Barisan Nasional, Kita tidak tahu kenapa dia nak buang masa di Kampung
Bharu, kecuali jika dia nak bertanding di (Parlimen) Titiwangsa," kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik Zainal Abidin (gambar bawah) - Berita Harian.
Tanah Kg. Bharu telah wujud sejak tahun 1900 melalui Enakmen Tanah Pertanian Melayu 1950 (Malay Agricultural Settlement 1950)
adalah hak milik pensendirian orang-orang melayu. Sejak kewujudannya
lebih 111 tahun, tanah Kg. Bharu diwarisi turun temurun oleh orang
Melayu kerana statusnya dijamin melalui Enakmen yang digubal oleh
Kerajaan Selangor sejak sebelum Malaya mencapai kemerdekaan lagi.
Kepesatan
pembangunan Kuala Lumpur telah mengakibatkan Kg. Bharu dilihat agak
ketinggalan. Rata-rata pemilik dan pewaris tanah menginginkan
pembangunan seiring dengan pembangunan kawasan persekitaran tetapi
pembangunan yang diinginkan bukan bermaksud hak milik tanah mereka
diambil alih oleh orang lain. Pembangunan yang diinginkan mereka bukan
bermakna sesiapa sahaja boleh mengabaikan hak mereka. Pembangunan yang
diinginkan mereka bukan bermaksud mereka boleh diperkotak-katikkan.
Pada 7 Disember 2011 telah diluluskan suatu Rang Undang-Undang yang dinamakan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 di Dewan Negara setelah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2011 sebelumnya. Rang Undang-Undang yang mendapat pelbagai bantahan ini telah diluluskan dengan begitu tergesa-gesa. Rang Undang-Undang ini secara tidak langsungnya membawa maksud tiada orang lain yang lebih tahu dalam hal membangunkan Kg. Bharu melainkan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar. Hanya Kerajaan Persekutuan sahaja yang lebih tahu dan lebih arif menentukan nasib dan hala tuju pembangunan Kg. Bharu sehinggakan para pemilik dan pewaris tanah dirasakan tidak penting dan tidak mempunyai apa-apa pengetahuan.

Kerajaan Persekutuan semasa membentangkan dan meluluskan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 menyatakan bahawa pembangunan yang akan dilakukan di Kg. Bharu hanya akan diteruskan sekiranya pemilik dan pewaris tanah bersetuju. Kenyataan ini sekali lagi dibuat oleh Menterinya kepada wartawan seperti yang disiarkan di dalam Akhbar Berita Harian pada 20 Januari 2012. Kenyataan tersebut agak pelik dan aneh kerana jika pembangunan hanya akan dilakukan dengan persetujuan pemilik dan pewaris tanah, kenapa perlu tergesa-gesa diluluskan suatu undang-undang? Jika hanya dengan persetujuan pemilik dan pewaris tanah, pembangunan dilakukan, kenapa Kerajaan Persekutuan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu yang mempunyai kuasa-kuasa pentadbiran ke atas tanah Kg. Bharu milik persendirian. Kuasa-kuasa dan fungsi Perbadanan yang bersifat komersial telah diluluskan melalui rang undang-undang tersebut.
Perlu diambil perhatian bahawa tanah Kg. Bharu adalah tanah persendirian, bukan tanah milik kerajaan sehingga kerajaan dengan sewenang-wenang menggubal undang-undang untuk mengurus hak milik orang lain. Adakah dengan penggubalan dan kelulusan undang-undang ini, bermaksud semua tanah di Kg. Bharu tertakluk di bawah undang-undang ini sehingga pemilik dan pewaris tidak boleh menggunakan hak-hak mereka?
Jika benar ikhlas untuk membantu pemilik dan pewaris tanah kenapa perlu dikesampingkan idea-idea dan buah fikiran pihak lain yang juga ingin membantu pemilik dan pewaris tanah? Kenyataan Raja Nong Chik yang disiarkan oleh Berita Harian tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa beliau dan Kerajaan Persekutuan hanya memikirkan kepentingan politik mereka melebihi kepentingan hak pemilik dan pewaris tanah. Rata-rata pemilik dan pewaris tanah membicarakan soal status hak milik mereka dan hala tuju pembangunan yang akan dilaksanakan tetapi Menteri lebih berminat bercakap hal politik sehingga mengeluarkan kenyataan politik meminta Menteri Besar Selangor menumpukan soal politik di Selangor melebihi soal pembangunan Kg. Bharu dan hak pemilik tanah.

Adakah pembangunan Kg. Bharu ini adalah demi kelangsungan kepentingan politik Menteri dan parti yang diwakilinya? Jawapannya terbentang luas di depan mata. Kenyataan Raja Nong Chik di atas menjelaskan segalanya!
Pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu, PERTAHANKAN HAK ANDA!
*Kenyataan media oleh Ahmad Zamry Asaad Khuzaimi (gambar kiri) selaku Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB).
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.