DAP menggesa Barisan Nasional untuk mengambil pendekatan dwipartisan
untuk menggalakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam Malaysia
dengan mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Walaupun
pengisytiharan harta secara terbuka oleh menteri-menteri serta keluarga
terdekat mungkin membahayakan bagi individu-individu tersebut, sebagai
langkah pertama hanya mereka yang memegang jawatan awam harus
mengisytiharkan harta secara terbuka.
Demi kepentingan
dwipartisan, DAP boleh terima sebagai permulaan jika hanya
menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli majlis
mesyuarat kerajaan negeri sahaja yang mengisytiharkan harta. Ahli
keluarga mereka boleh dikecualikan. Sekadar mengisytiharkan kepada
Perdana Menteri seorang ataupun kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah
Malaysia (SPRM) tidak memadai.
Atas sebab ini, keengganan pihak
SPRM untuk mengiktiraf prinsip pengisytiharan harta secara terbuka oleh
para menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan
negeri perlu dikecam. Saya memahami kebimbangan BN bahawa
pengisytiharan harta mungkin akan membahayakan penjawat-penjawat awam
tersebut, namun BN juga harus memahami kebimbangan umum bahawa kegagalan
untuk mengisytiharkan harta mungkin akan membahayakan Malaysia.
Sesiapa
yang berhasrat untuk menjadi pemimpin harus mengutamakan negara mereka
dan harus rela untuk membahayakan diri sendiri daripada membahayakan
Malaysia. Oleh itu, pengisytiharan harta secara terbuka oleh
menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli majlis
mesyuarat kerajaan negeri adalah langkah pertama yang wajar untuk
memastikan bahawa kepentingan umum akan terpelihara.
Minggu
lepas, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pulau Pinang
telah mencipta sejarah dengan menjadi anggota-anggota pentadbiran
dipilih yang pertama di Malaysia untuk mengisytiharkan harta secara
terbuka. Maklumat mengenai pinjaman-pinjaman dan liabiliti-liabiliti
ahli-ahli EXCO telah didedahkan. Pendapatan mereka juga jelas diperolehi
daripada satu sumber sahaja, iaitu elaun sebagai wakil rakyat dan
badan-badan berkanun.
Elaun untuk Ahli-ahli EXCO Pulau Pinang
boleh dirujuk daripada Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan
Undangan Negeri (Saraan)1980, yang turut dimuat naik. Maklumat ini boleh
didapati di laman sesawang Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu
www.penang.gov.my. Ini adalah satu pencapaian dalam usaha untuk
memastikan tidak berlaku pengumpulan harta yang luar biasa dan yang
tidak dapat dijelaskan oleh anggota-anggota pentadbiran.
Kerajaan
Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah yang lebih dengan melantik
firma akauntan dan audit antarabangsa yang terkenal iaitu KPMG dan rakan
kongsi kanannya Akauntan Bertauliah Ooi Kok Seng, untuk mengesahkan dan
menetapkan templat yang akan dipaparkan kepada umum. Ooi juga hadir
semasa sidang akhbar pada 12 Januari 2012 di Pulau Pinang apabila
pengisytiharan harta itu dibuat dan telah berkata bahawa KPMG telah
mendukung standard profesional yang tertinggi untuk memastikan pematuhan
kepada prinsip-prinsip keobjektifan, kebebasan dan tiada konflik
kepentingan sebelum menjalankan apa-apa tugasan.
Kepercayaan
Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam SPRM sudah pun terhakis berikutan apa
yang dilihat sebagai kegagalan untuk mengambil tindakan terhadap
pemimpin-pemimpin BN yang terlibat dalam kontrak-kontrak yang
mencurigakan serta apa yang dilihat sebagai tindak-tanduk mereka yang
seolah-olah tidak bebas dan sanggup digunakan oleh BN bagi tujuan
politik. Ketidakpercayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap
komitmen SPRM untuk menangani rasuah adalah jelas bukan sahaja kerana
kegagalan mereka untuk bertindak atas laporan-laporan yang dibuat oleh
saya tetapi juga oleh Kerajaan Negeri PulauPinang.
Kemerosotan
Malaysia dalam hal rasuah ini juga terserlah dengan penurunan kedudukan
Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International dari
tangga ke-37 pada tahun 2003 kepada tangga ke-60 tahun lepas. Oleh itu,
pengesahan daripada sebuah firma audit dan akauntan antarabangsa yang
terkemuka adalah lebih dipercayai dan boleh diharap berbanding dengan
SPRM.
*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kanan) selaku Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.