Walau pun pengisytiharan harta secara terbuka oleh menteri-menteri
serta keluarga terdekat mungkin “membahayakan” bagi individu-individu
tersebut, ia perlu dilakukan bagi menggalakkan ketelusan dan
kebertanggungjawaban para pemimpin.
Justeru, DAP boleh menerima sebagai permulaan jika hanya
menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli majlis
mesyuarat kerajaan negeri sahaja yang mengisytiharkan harta.
DAP juga berpendapat buat masa ini ahli keluarga para pemimpin tersebut boleh dikecualikan.
“Sesiapa yang berhasrat untuk menjadi pemimpin harus mengutamakan
negara mereka dan harus rela untuk membahayakan diri sendiri daripada
membahayakan Malaysia.
“Oleh itu, pengisytiharan harta secara terbuka oleh menteri-menteri,
timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri
adalah langkah pertama yang wajar untuk memastikan bahawa kepentingan
umum akan terpelihara,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz
dilaporkan sebagai berkata bahawa pengisytiharan harta para pemimpin
secara terbuka kepada umum boleh mengundang bahaya jika orang tahu
mengenai kekayaan mereka.
Guan Eng menjelaskan bahawa sekadar mengisytiharkan kepada Perdana
Menteri seorang atau pun kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia
(SPRM) tidak memadai.
Katanya keengganan SPRM untuk mengiktiraf prinsip pengisytiharan
harta secara terbuka oleh para menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli
majlis mesyuarat kerajaan negeri perlu dikecam.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini telah
mencipta sejarah dengan mengisytihar harta bersama Exco Kerajaan Negeri
Pulau Pinang.
Langkah tersebut telah menarik perhatian umum dan tambah memperkuat
keyakinan masyarakat terhadap prinsip pentadbiran CAT (cekap,
akauntabel, telus) yang diamalkan sejak pentadbiran kerajaan negeri
Pulau Pinang diambil alih oleh Pakatan Rakyat pada Mac 2008.
Perisytiharan tersebut mendedahkan maklumat mengenai
pinjaman-pinjaman dan liabiliti-liabiliti Ahli-Ahli EXCO bersama sumber
pendapatan mereka yang jelas diperolehi daripada satu sumber sahaja,
iaitu elaun sebagai wakil rakyat dan badan-badan berkanun.
Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, kerajaan negeri Pulau
Pinang tidak begitu percaya kepada SPRM berikutan kegagalan untuk
mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang
mempunyai sumber-sumber kewangan yang meragukan, selain tindak-tanduk
SPRM yang dilihat seperti tunggangan politik parti pemerintah itu.
“Ketidakpercayaan kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap komitmen SPRM
untuk menangani rasuah adalah jelas bukan sahaja kerana kegagalan
mereka untuk bertindak atas laporan-laporan yang dibuat oleh saya tetapi
juga oleh kerajaan negeri Pulau Pinang,” ujar beliau.
Oleh yang demikian, katanya, pengesahan daripada sebuah firma audit
dan akauntan antarabangsa yang terkemuka adalah lebih dipercayai dan
boleh diharap berbanding dengan SPRM.
Beliau menambah bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengambil
langkah yang lebih dengan melantik firma akauntan dan audit antarabangsa
yang terkenal iaitu KPMG dan rakan kongsi kanannya Akauntan Bertauliah
Ooi Kok Seng, untuk mengesahkan dan menetapkan templat yang akan
dipaparkan kepada umum. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.