Keuntungan yang dikaut oleh syarikat pembina lebuh raya melalui
kutipan tol adalah berlebihan, tidak masuk akal dan menindas rakyat.
“Ini untung maha besar, untung Maha Firaun,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Dalam sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini, beliau tampil
berkongsi data peratusan hasil daripada kos pembinaan lebuh raya
Malaysia yang diperoleh melalui jawapan Parlimen.
Beliau sambil merujuk kepada peratus keuntungan berlipat kali ganda
yang diperolehi dari projek-projek lebuh raya seluruh negara. Antara
yang paling tinggi keuntungannya ialah Lebuhraya Metramac yang mencatat
keuntungan 877% daripada kos asal pembinaan yang hanya berjumlah RM45
juta.
Tambah mengejutkan ialah kekayaan yang dikumpul melalui projek
Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang mengaut keuntungan 308% sebanyak RM
18 bilion, setelah ditolak kos pembinaannya sebanyak RM 5 bilion; dengan
tempoh konsesi selama 50 tahun sehingga tahun 2038.
Begitu juga dengan projek lebuh raya KL – Karak yang untung hampir
RM1 bilion (202%), diikuti Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dengan
keuntungan RM1.6 bilion (149%) berbanding kos pembinaan sekitar RM1
bilion.
“Anak, cucu, cicit kita pun akan terus bayar tol,” ujar Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Katanya tol yang membebankan rakyat tetapi memperkayakan kroni ini
mesti dihapuskan, merujuk kepada Lebuhraya Metramac, Lebuhraya Utara
Selatan, Lebuhraya KL – Karak, Lebuhraya Damansara Puchong, Lebuhraya
Cheras Kajang dan Jambatan Pulau Pinang.
Guan Eng turut mengajak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri
Nor Mohamed Yakcop untuk berdebat secara terbuka memandangkan menteri
tersebut telah membuat kenyataan bahawa penghapusan tol yang dijanjikan
Pakatan Rakyat adalah tidak masuk akal.
“Mengapa kita tak boleh hapuskan tol bila PLUS untung 308%? Mari bahas mengikut isu dan fakta, bukan dengan emosi dan sentiment.
“Dia seorang menteri, saya seorang Ketua Menteri, kami setara. Mari
kita berdebat demi kepentingan rakyat,” tegasnya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.