GEORGE TOWN, 21 JAN: Kemakmuran, kesejahteraan dan kebaikan yang
dinikmati oleh anak negeri Pulau Pinang sekarang terus dijamin jika
rakyat bersama kerajaan komited untuk mengutamakan negeri, dan bukannya
kepentingan peribadi.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata untuk memastikan
perkhidmatan awam yang bermutu, kerajaan negeri Pakatan akan
meningkatkan urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT).
“Tidak ada ruang untuk gagal berprestasi, melewatkan kerja, menendang
masalah dari satu jabatan ke jabatan yang lain seperti bola dan
melakukan korupsi,” katanya dalam mesej Tahun Baru Cina di sini hari
ini.
Menurutnya kerajaan Pakatan Pulau Pinang juga telah menyediakan dana
rumah mampu milik RM500 juta untuk memenuhi keperluan masyarakat
berpendapatan rendah.
Katanya kerajaan negeri juga telah menggariskan pelan jangka pendek,
sederhana dan panjang untuk projek infrastruktur jalan raya bernilai RM8
bilion bagi mengatasi kesesakan lalulintas yang semakin meningkat
kerana bertambahnya pelancong dan pelabur.
“Mengutamakan Pulau Pinang – dengan dana rumah mampu milik RM500
juta, projek jalan raya RM8 bilion dan usaha transformasi perkhidmatan
awam negeri yang bersifat CAT – akan menjadikan pulau mutiara ini
bersih, hijau dan selamat,” ujarnya.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata kepercayaan
masyarakat Cina telah meletakkan tahun baru naga sebagai harapan untuk
terus menjayakan Pulau Pinang sejak pentadbiran Pakatan mengambil alih
pada 2008.
Menurutnya segala usaha penambahbaikan bukan sahaja dalam soal
memakmurkan negeri dan meningkatkan taraf hidup di segi ekonomi tetapi
juga bagi kehidupan yang lebih bermakna melalui amalan kebebasan,
kedaulatan undang-undang dan demokrasi.
“Menghormati maruah dan harga diri untuk bersuara bebas dan menerima
perbezaan antara kita dapat merapatkan keamanan dan keharmonian,” tambah
beliau. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.