KUALA LUMPUR 21 Jan: Peguam negara mengguna hukum rimba apabila
memfailkan rayuan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata
Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.
Beliau merujuk kenyataan Tan Sri Abdul Gani Patail yang menyatakan
kononnya rayuan tersebut difailkan berdasarkan kepada bukti keterangan
dan undang-undang.
“Yang nyata rayuan ini bermotifkan politik, secara tidak sah dan
dipengaruhi oleh keputusan pemerintah BN. Sekiranya pejabat peguam
negara meneruskan rayuan berdasarkan keterangan dan undang-undang, tidak
akan ada rayuan difailkan terhadap pembebasan ini.
“Satu-satunya jenis undang-undang rayuan seperti ini mungkin
berasaskan kepada hukum rimba,” kata beliau sambil menambah keputusan
itu memalukan reputasi negara diperingkat antarabangsa.
Menurut Surendran, sejak 1998, peguam negara telah menjadi alat
kepada Umno untuk melakukan pendakwaan tidak bermoral terhadap Anwar
dengan tujuan memenjarakan dan menamatkan karier politik ketua
pembangkang itu.
Tambah beliau, Abdul Gani sepatutnya mempertimbangkan keperluan
rayuan berdasarkan keseluruhan bukti yang disampaikan pada perbicaraan
itu dan kecatatan serta kelemahan pendakwaan.
“Seperti ditunjukkan secara jelas oleh peguam semasa perbicaraan, kes
terhadap Anwar sangat lompong malah tiada keperluan untuk melihat
alasan penghakiman,” ujarnya dalam satu kenyataan petang tadi.
Menurut Surendran, rayuan tersebut juga menunjukkan penyalahgunaan
kuasa oleh Barisan Nasional sejak 54 tahun lalu, akibat pemerintahan
yang rasuah dan autoritarian.
“Rayuan ini adalah bukti lanjut bahawa janji-janji Najib membuat
perubahan dan pembaharuan adalah tidak lebih daripada penipuan
besar-besaran dan hipokrit ke atas rakyat negara ini,” ujar beliau.
Apa yang jelas katanya, motif ayuan ini adalah untuk memenjarakan
Anwar dan menghalang Pakatan Rakyat dari memenangi kuasa kerajaan
Persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.
Namun, walau apapun terjadi, katanya, Anwar dan Pakatan Rakyat tidak
akan gagal dalam perjuangan untuk membawa perubahan dan pembaharuan,
bagi membentuk Malaysia yang lebih adil dan saksama.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.