2 Jan 2012

Prestasi Pungutan Zakat dan Soal Tadbir Urus

Baru-baru ini, timbulnya pelbagai persoalan berhubung kecekapan dan integriti institusi zakat tanah air kesayangan kita, antaranya, sesetengah pihak zakat dikatakan tidak atau lambat memberi bantuan kepada golongan yang terdesak akibat kemiskinan, seperti apa yang berlaku kepada seorang janda yang dituduh murtad yang dicerita oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.  Birokrasi yang wujud di pusat-pusat zakat juga dikenal pasti sebagai salah satu perkara yang perlu ditangani (http://www.themalaysianinsider.com/litee/bahasa/article/zakat-gabungan-ngo-gesa-majlis-agama-islam-kurangkan-birokrasi/) , (http://www.bharian.com.my/articles/PeguamSyarieMenulis_Perbaikicaradakwahelakumatdipedaya/Article/). Terdapat juga dakwaan bahawa wang zakat sebanyak RM32 ribu telah disalahgunakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan  (MAIWP) bagi membiayai yuran guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jawi, Che Mat Ali (http://www.keadilandaily.com/jangan-sampai-rakyat-hilang-keyakinan-pada-institusi-zakat-ahmad-kassim/), (http://www.kl-today.com/2011/06/mufti-dosa-besar-seleweng-wang-zakat/),  ( http://merdekareview.com/bm/news.php?n=12579).
Oleh itu, banyak aspek berkenaan isu keberkesanan pengurusan zakat patut dikaji.  Sementara kita menumpukan perhatian atas butir-butir agihan zakat, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) telah menyemak statistik pungutan zakat.  Kajian-kajian akademik yang dijalankan sebelum ini mendapati bahawa "ketidakpuasan hati agihan zakat oleh institusi zakat" dapat "mempengaruhi secara signifikan pembayaran zakat kepada institusi zakat formal"( Sanep et.al (2006) dirumus oleh Hairunnizam Wahid, Sanep Ahmad, dan Radiah Abdul Kader (2009) "Pengagihan Zakat Oleh Institusi Zakat di Malaysia: Mengapa Masyarakat Islam Tidak Berpuas Hati?", Jurnal Syariah, Jil. 17, Bil. 1, ms 97
http://www.ukm.my/hairun/kertas%20kerja/PENGAGIHAN_ZAKAT_OLEH_INSTITUSI_ZAKAT_DI_MALAYSIA.pdf). Ini menunjukkan wujudnya hubungan sebab-akibat antara prestasi agihan zakat dan prestasi kutipan zakat, justeru analisa kadar kutipan zakat dapat memberi gambaran secara menyeluruh terhadap keberkesanan pusat-pusat zakat di negeri masing-masing.

Prestasi Pungutan Zakat Mengikut Negeri Tahun 2001 - 2010

Statistik pungutan zakat yang dipaparkan di bawah merupakan statistik yang diterbit oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang diperoleh melalui portal rasmi ( http://119.110.108.126/ebayanat/statistikzakatnegericetak.asp) (diakses pada 27 September 2011) Jabatan tersebut setakat 27 September 2011.

Antara penemuan-penemuan yang penting selepas penelitian dibuat ke atas statistik pungutan zakat JAWHAR adalah:
  • Prestasi pungutan zakat di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah yang paling cemerlang.
  • Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga menunjukkan tren pungutan zakat yang paling stabil dalam tempoh 10 tahun sepanjang tahun 2001 - 2010.
  • Sabah dan Sarawak merekodkan tren pungutan zakat yang kurang stabil berbanding dengan negeri-negeri lain.
  • Kedah merekodkan peningkatan jumlah pungutan zakat tahunan yang paling besar dalam tempoh sepuluh tahun ini pada 2010 apabila jumlah pungutan zakat naik 149 peratus kepada jumlah tahun sebelumnya.
  • Selain Kedah, negeri-negeri lain yang merekodkan peningkatan jumlah pungutan zakat tahunan yang amat besar dalam tempoh yang sama ialah Perlis (80 peratus pada 2006) dan Pulau Pinang (65 peratus pada 2010).
  • Negeri-negeri yang mempunyai rekod sempurna, iaitu negeri-negeri yang mencatatkan peningkatan tahunan jumlah pungutan zakat secara berterusan dari tahun 2001 sehingga 2010 ialah Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Jumlah pungutan zakat di negeri Melaka menurun 87 peratus (RM19.13 juta) pada tahun 2008 berbanding tahun 2007. Dari tahun 2001 sehingga 2007, jumlah pungutan zakat di negeri Melaka berada dalam lingkungan RM12 juta hingga RM22.1 juta. Bermula dari tahun 2008, jumlah pungutan zakat di negeri Melaka hanya berada dalam lingkungan RM2.9 juta hingga RM3.2 juta.
JUMLAH PUNGUTAN ZAKAT BAGI TAHUN 2001-2010 MENGIKUT NEGERI
Negeri
Nilai (RM)
Melaka
119,955,985.02
Sabah
144,297,017.48
Perlis
149,336,181.75
Sarawak
219,095,644.83
Negeri Sembilan
258,080,595.35
Pulau Pinang
344,192,569.29
Perak
365,975,949.24
Kelantan
374,745,504.65
Pahang
384,351,841.85
Kedah
466,834,789.01
Terengganu
488,280,183.40
Johor
642,947,639.44
WP Kuala Lumpur
1,555,993,520.30
Selangor
1,680,973,601.49

Berdasarkan statistik JAWHAR, negeri Selangor mencatatkan jumlah pungutan zakat tertinggi dari tahun 2001 hingga 2010, dengan pendapatan mencecah RM1.68 bilion, manakala negeri Melaka mencatatkan jumlah pungutan zakat terrendah dalam tempoh yang sama dengan pendapatan kira-kira RM120 juta.  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan wilayah/negeri tunggal selain Selangor yang merekodkan pungutan zakat melebihi RM1 bilion dalam tempoh yang sama.

Negeri-negeri/wilayah yang mencatatkan peningkatan tahunan jumlah pungutan zakat secara berterusan dari tahun 2001 ke 2010 ialah Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Negeri-negeri lain termasuk Johor, Melaka, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu pernah mengalami penurunan jumlah pungutan zakat pada tempoh-tempoh tertentu.

Terdapat peningkatan ke atas jumlah pungutan wang zakat yang jelas dan signifikan pada tahun 2008 di beberapa buah negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak dan Sarawak.  Terdapat juga penurunan yang amat mendadak pada tahun yang sama di negeri Melaka.  Beberapa negeri juga mencatatkan penurunan ke atas jumlah pungutan wang zakat pada tahun 2010, iaitu Perak dan Sabah.

Statistik Negeri-Negeri Yang Mencatatkan Peningkatan Tahunan Jumlah Pungutan Zakat Berturut-turut:
 
  • Jumlah pungutan zakat di negeri Kedah meningkat secara stabil dari tahun 2001 sehingga 2007 dengan nilai peningkatan kurang daripada RM6 juta setahun. Pada tahun 2008, jumlah pungutan zakat di negeri Kedah mencatatkan lebihan RM20 juta berbanding dengan jumlah tahun sebelumnya, dan pada tahun 2009 ia mencatatkan lebihan RM10 juta berbanding dengan jumlah tahun 2008.  Jumlah pungutan zakat di negeri Kedah mencatatkan peningkatan hebat sebanyak kira-kira RM100 juta (149 peratus) pada tahun 2010.
  • Jumlah pungutan zakat di negeri Kelantan meningkat secara stabil dari tahun 2001 sehingga 2007. Peningkatan yang besar dapat disaksikan pada tahun 2008 apabila kira-kira RM17 juta (43 peratus) ditambah ke atas hasil tahun 2007.
  • Jumlah pungutan zakat di Negeri Sembilan meningkat dengan stabil dari tahun 2001 sehingga 2010.
  • Jumlah pungutan zakat di negeri Pahang meningkat secara stabil dari tahun 2001 sehingga 2007.  Peningkatan besar disaksikan pada tahun 2008 apabila peningkatan kira-kira RM13 juta (36 peratus) ke atas hasil tahun 2007 direkodkan.  Tren ini diteruskan pada tahun 2009 apabila peningkatan kira-kira RM21 juta (42 peratus) direkodkan.
  • Jumlah pungutan zakat di Pulau Pinang meningkat secara stabil dari tahun 2001 sehingga 2009 dan ianya meningkat secara mendadak pada tahun 2010 dengan lebihan kira-kira RM 31 juta berbanding dengan hasil tahun 2009.
  • Jumlah pungutan zakat di Selangor meningkat secara stabil dari tahun 2001 sehingga 2010.
  • Jumlah pungutan zakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meningkat secara stabil dari tahun 2001 sehingga 2010.

Statistik Negeri-Negeri Yang Tidak Mencatatkan Peningkatan Tahunan Jumlah Pungutan Zakat Berturut-turut:

 
  • Jumlah pungutan zakat di negeri Johor meningkat secara stabil dari tahun 2003 sehingga 2006, selepas penurunan sejumlah kira kira RM1 juta dicatatkan pada tahun 2002.  Peningkatan besar sebanyak kira-kira RM18 juta dicatatkan pada tahun 2007 sebelum peningkatan yang lagi besar sebanyak kira-kira RM27 juta dicatatkan pada tahun 2008.
  • Jumlah pungutan zakat di negeri Melaka meningkat secara stabil dari tahun 2001 sehingga 2007.  Penurunan mendadak sebanyak kira-kira RM19 juta dicatatkan pada tahun 2008 sebelum peningkatan stabil dicatatkan lagi pada tahun 2009.
  • Jumlah pungutan zakat di negeri Perak meningkat secara stabil dari tahun 2001 sehingga 2007.  Pada tahun 2008, peningkatan yang lebih besar dicatatkan dan peningkatan yang berjumlah lebih daripada RM10 juta diterukan pada tahun 2009 sebelum penurunan sebanyak kira-kira RM17 juta berlaku pada tahun 2010.
  • Jumlah pungutan zakat di negeri Perlis meningkat secara stabil dari tahun 2001 sehingga 2003 sebelum ia menurun pada tahun 2004.  Bermula dari tahun 2006, pungutan zakat di Perlis mencatatkan peningkatan yang jauh lebih besar daripada peningkatan dari tahun 2001 sehingga 2003, dengan peningkatan sekurang-kurangnya  RM5 juta setiap tahun sehingga 2010.
  • Tren pungutan zakat di negeri Sabah adalah kurang stabil berbanding dengan negeri-negeri lain kecuali Sarawak.  Penurunan jumlah pungutan zakat disaksikan pada tahun 2003 apabila jumlah pungutan pada tahun tersebut susut RM1 juta berbanding dengan jumlah pungutan tahun 2002. Dari tahun 2004 sehingga tahun 2009, jumlah pungutan zakat di negeri itu meningkat secara berterusan, dan peningkatan besar yang berjumlah lebih kurang RM5 juta dicatatkan pada tahun 2006 dan 2007.  Pada tahun 2010 pula, penurunan sebanyak kira-kira RM5 juta berlaku yang menyebabkan jumlah pungutan zakat di Sabah berada di paras yang paling rendah dalam tempoh 4 tahun.
  • Seperti Sabah, tren pungutan zakat di negeri Sarawak juga kurang stabil berbanding dengan negeri-negeri lain.  Penurunan jumlah pungutan zakat berlaku dua kali dari tahun 2001 ke 2010, iaitu pada tahun 2003 dan 2005.  Peningkatan besar disaksikan pada tahun 2008 apabila jumlah pungutan zakat di Sarawak adalah kira-kira RM13 juta lebih tinggi daripada jumlah tahun 2007.
  • Jumlah pungutan zakat di negeri Terengganu meningkat dengan stabil dari tahun 2001 sehingga tahun 2003 sebelum ia menurun pada tahun 2004.  Bermula dari tahun 2005 sehingga 2010, jumlah pungutan zakat di Terengganu meningkat secara berterusan setiap tahun.  Peningkatan besar sebanyak kira-kira RM14 juta dicatatkan pada tahun 2008.

Kes Ganjil Melaka

Antara negeri-negeri yang diteliti sebelum ini, jelas bahawa keadaan negeri Melaka adalah yang paling ganjil.  Jumlah pungutan zakat yang susut kira-kira RM19 juta pada tahun 2008 amat memeranjatkan.

Adakah kejadian ini berkaitan dengan perbelanjawan tertentu seperti mana kemelut Kompleks MAIM yang menyaksikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membelanjakan wang zakat sebanyak RM13.85 juta dalam pembangunan kompleks tersebut (Laporan Ketua Audit Negara 2009 – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Melaka, ms 57. ) ?

Apabila diteliti statistik yang dibekalkan pihak JAWHAR dan perbandingan dibuat, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Yaakub Md. Amin telah memberikan angka-angka yang jauh berbeza daripada angka-angka JAWHAR? Menurut Yaakub, jumlah kutipan zakat di Melaka ialah RM26 juta pada 2008, RM30.7 juta pada 2009, dan RM34 juta pada 2010 (http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm). Apabila dibandingkan angka tahun 2009 yang dibekalkan oleh pihak JAWHAR iaitu RM2,999,436.30 (hampir RM3 juta) dengan angka Yaakub iaitu RM30.7 juta, angka Yaakub adalah jauh lebih tinggi. Siapa yang lemah dari segi tadbir urus dalam kes ini?

Seterusnya, adakah Yaakub membekalkan statistik yang betul? Hal ini kerana angka-angka yang diberi oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam juga tidak konsisten dengan angka-angkanya? Mohd. Ali berkata bahawa Pusat Zakat Melaka (PZM) sehingga 16 Disember 2009 mencatatkan kutipan zakat berjumlah RM22,867,449  (http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/12/17/mstar_berita/20091217185812&sec=mstar_berita). Hal ini bermakna PZM dapat memungut sebanyak RM8 juta zakat dalam tempoh 15 hari (17 Disember hingga 31 Disember 2009) jika angka Yaakub dianggap tepat. Jika kadar pungutan zakat oleh PZM memang setinggi ini, prestasi pungutan zakat PZM bagi seluruh tahun 2009 mungkin telah mencecah RM100 juta dan bukan RM30.7 juta seperti yang dikatakan oleh Yaakub atau RM3 juta seperti yang dikatakan oleh JAWHAR. 

Statistik Yang Bercanggahan dan Mengelirukan

Statistik JAWHAR bagi Melaka bukan satu-satunya statistik negeri yang tidak selaras dengan statistik atau kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil pihak berkuasa negeri.

Sebagai contoh, Laporan Kutipan Agihan Zakat Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan 2010-2011 menyatakan bahawa jumlah pungutan zakat ialah RM241,966,660.22 pada tahun 2009 (Angka JAWHAR = RM248,803,798.22), dan RM206,261,147.28 pada tahun 2008 (Angka JAWHAR =RM 210,881,352.97) ( http://www.zakat.com.my/images/pdf/laporan/laporan2010.pdf). Angka-angka PPZ bagi tahun 2007 dan 2006 juga tidak sepadan dengan angka-angka JAWHAR.

Walaupun tidak dijelaskan dalam laporannya, angka PPZ difahamkan merangkumi kutipan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.  Angka JAWHAR pula terhad kepada Kuala Lumpur sahaja.  Angka bagi jumlah pungutan zakat yang diterbit dalam laporan PPZ adalah lebih rendah berbanding angka JAWHAR.  Mengapakah angka PPZ yang meliputi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan adalah lebih rendah berbanding angka JAWHAR yang merujuk kepada Kuala Lumpur sahaja?

Menurut Laporan Tahunan 2009 Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), pendapatan wang zakat ialah RM283,787,046 bagi tahun 2009 (Angka JAWHAR = RM283,648,722) dan RM244,472,884 bagi tahun 2008 (Angka JAWHAR = RM244,410,849).  Ini menunjukkan statistik MAIS dan statistik JAWHAR bagi negeri Selangor juga tidak sepadan.

Desakan Buat JAWHAR dan Pihak-Pihak Berkuasa yang Berkenaan

JAWHAR perlu menjelaskan cara pengiraan dan sumber statistik jumlah pungutan  zakat yang diguna pakai olehnya.  JAWHAR, Majlis Agama Islam Melaka, dan Kerajaan Melaka juga perlu menjelaskan isu "kehilangan" kutipan zakat di Melaka.

Begitu juga, KPRU mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom supaya tidak mendiamkan diri dan menjelaskan jawapan Ketua Audit Negara yang mengesahkan bahawa beliau, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Che Mat Che Ali dan Shamsuddin Hussain Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan menggunakan RM63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guamannya mengadapi kes permohonan qazaf Anwar Ibrahim.

Ketua Audit memaklumkan bahawa pada 11 Januari 2010 MAIWP menerima bil berjumlah RM63,000 daripada peguam Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir kerana mewakili ketiga-tiga mereka di atas bagi kes permohonan qazaf Anwar.  Che Mat telah meluluskan bayaran RM31,500 daripada peruntukan am pada 28 Januari 2010.  Namun memandangkan geran kerajaan masih lagi belum diterima, bayaran dibuat menggunakan peruntukan zakat pada 9 Februari 2010.

Latar Belakang

Di Malaysia, pengurusan zakat merupakan tanggungjawab setiap negeri dan ia dipantau oleh ketua agama Islam negeri masing-masing.  Beberapa negeri juga telah menswastakan institusi zakat dengan tujuan menambah baik keberkesanan pihak pengurusan zakat.  Negeri-negeri ini termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan  (Sanep et.al (2006)  dirumus oleh Hairunnizam Wahid, Sanep Ahmad, dan Radiah Abdul Kader (2009) “Pengagihan Zakat Oleh Institusi Zakat di Malaysia: Megapa Masyarakat Islam Tidak Berpuas Hati?”, Jurnal Syariah, Jil. 17, Bil. 1, ms 93
http://www.ukm.my/hairun/kertas%20kerja/PENGAGIHAN_ZAKAT_OLEH_INSTITUSI_ZAKAT_DI_MALAYSIA.pdf).

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) ditubuhkan pada 27 Mac 2004 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, semasa pembentukan kabinet barunya (http://www.jawhar.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=66&Itemid=60⟨=ms).

Menurut Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Dato' Dr. Abdullah b. Md. Zin, penubuhan JAWHA "bertujuan untuk memastikan bahawa pentadbiran harta wakaf, zakat dan urusan haji di seluruh negara lebih tersusun, sistematik dan berkesan. Ia juga bermaksud untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan ke tahap yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang (http://www.jawhar.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=66&Itemid=60⟨=ms)."

*Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) merupakan sebuah pusat kajian yang baru dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada warga Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.