2 Jan 2012

Jangan jadi seperti orang suruhan Umno

KOTA BHARU, 2 Jan: Apakah menyampaikan maklumat berkenaan isu semasa kepada rakyat dianggap salah, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Rusdi Mohd Zain.
Sedangkan kata beliau Umno dan Barisan Nasional (BN) mempunyai pelbagai media termasuk dibiayai dana rakyat bagi menyampaikan propaganda mereka kepada rakyat.
”Tidak masuk akal kalau difikir secara matang apabila anggota AMK mengedar risalah isu semasa termasuk berkaitan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim disiasat mengikut Seksyen 4 (b) Akta Mesin Cetak.
”Bagaimana penyebaran video lucah oleh blogger Papagomo. Mengapa tidak diambil apa-apa tindakan, sedangkan kami sekadar membawa risalah terus ditahan,” katanya di sini.
Sabtu lalu Ketua AMK negeri, Mohd Azihan Che Seman ditahan bersama tiga lagi di sekatan jalan raya di Kuala Krai kerana memilik risalah berkaitan kronologi perbicaraan liwat II.

Mereka ditahan ketika menyertai konvoi penerangan AMK yang bermula di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV dalam perjalanan menuju ke Gua Musang.
Satu kumpulan lagi dikepalai Ketua Penerangan PKR Kelantan Roslan Puteh pula ditahan di Tanah Merah ketika sedang mengedar risalah tersebut di sebuah pasar.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung pengedaran risalah terbabit.
Rusdi berkata, AMK kecewa tindakan polis menahan anggota KeADIlan Kelantan yang menyertai program jelajah bagi menjelaskan isu semasa kepada rakyat.
“Adakah usaha itu merupakan satu kesalahan. Penahanan Ketua AMK dan anggota PKR semasa perjalanan ke Gua Musang tidak manasabah.
”Apakah membawa risalah Datuk Seri Anwar menjadi satu kesalahan serius. Kami minta pihak berkuasa keselamatan jangan menjadi seperti orang suruhan Umno,” ujarnya.
Oleh itu menurutnya biar pun cuba dihalang AMK tetap meneruskan perjuangan menuntut keadilan untuk rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.