Tahun 2011 telah melabuhkan tirai
meninggalkan bersama pelbagai peristiwa suka dan duka. Sebut apa saja -
tragedi, bencana alam, perang, revolusi, krisis kewangan, kejayaan,
kebahagiaan - semuanya dalam diari 12 bulan yang berlalu. Berlalunya
Tahun Arnab ini, 2012 yang bakal mengganti diharap memberikan sinar
lebih baik untuk kehidupan manusia di muka bumi. Mendukong harapan
baru, tidak mahu lagi menyaksikan pemimpin-pemimpin dunia dan tokoh
terkenal menemui ajal, terbunuh atau dibunuh, sama ada dalam misi rakus
kuasa asing mahupun ketika diguling rakyat sendiri.
TAHUN BARU 2012 benar-benar mendambakan harapan baru anak semua bangsa untuk melihat wajah dan situasi baru yang boleh memberi makna kepada kehidupan yang lebih baik.
Tahun 2011 dengan sekelip mata akan berlalu
dalam pekikan lantang sejagat menuntut pembaharuan. Dalam tahun 2012
yang bakal mengganti, insan dan ummah berharap agar dapat menyongsong
suatu zaman serba baru yang lebih bermakna.TAHUN BARU 2012 benar-benar mendambakan harapan baru anak semua bangsa untuk melihat wajah dan situasi baru yang boleh memberi makna kepada kehidupan yang lebih baik.
Pada saat menghantar yang lama dan menyambut yang baru ini, kami dengan takzim mengucapkan selamat Tahun Baru kepada semua rakan seperjuangan lama, sahabat lama, rakan baru serta semua yang berjuang demi mewujudkankan masyarakat yang lebih baik, mudah-mudahan kalian berada dalam keadaan sihat wal’ afiat serta berjaya dalam segala gerak kerja dan usaha.
Sepanjang tahun lalu, krisis ekonomi dalam negeri-negeri maju di Amerika dan Eropah berlanjutan selama tiga tahun lebih dan masih tidak nampak tanda-tanda untuk mereda, malah sebaliknya negeri-negeri Eropah turut terperlus ke dalam krisis kewangan dan hutang yang semakin tenat, di hadapan rakyat sedunia, sistem kapitalis itu telah mendedahkan lebih lanjut kepincangan yang membawa maut kepada dirinya sendiri. Segala kepincangannya membuat orang lebih mengenali bahawa masyarakat itu bukanlah syurga bahagia. Kelembapan pembangunan ekonomi, ketenatan inflasi, melonjaknya angka serta tenaga penganggur yang dahsyat. Kemerosotan kualiti kehidupan dan bertambah meruncing polarisasi antara yang kaya raya dengan yang papa kedana, telah menimbulkan ketidakpuasan amat hebat di kalangan rakyat massa. Pergerakan memprotes di mana 99% umat dalam garis kesusahan menentang satu peratus kelas oligarki yang membolot kekayaan, iaitu pergerakam "occupy" (menduduki) telah menyelubungi negeri-negeri maju.
Sepanjang tahun lalu, kuasa-kuasa hegemoni yang bermaharajalela atas nama nilai universal demokrasi dan hak asasi manusia telah menginjak-injak kedaulatan dan survival negeri-negeri yang lemah, secara paksa menukar pemerintah yang tidak mengikut telunjuk nya; kuasa-kuasa itu mengerahkan segala kekuatan untuk memomokkan, mengepung, menghukum dan mengancam dengan perang terhadap bangsa dan negeri yang berani menentang hegemoninya. Kuasa-kuasa itu juga mengerahkan kekuatan keras dan kekuatan lembutnya secara paksa mengubah alam - dunia Arab dan Islam, mengakibatkan kemusnahan jutaan jiwa, kehancuran negara yang indah permai dan kelenyapan kampung halaman yang bahagia; maruah ummah yang soleh dihina dan diinjak-injak dengan serangan pesawat dan roket. Kekuatan-kekuatan dajal itu masih menghasut dan mencucuh api di merata dunia, memperhebatkan pergeseran dan menimbulkan huru hara.
Di pihak lain, banyak negara membangun sedang menyelidik pelan jalan pembangunan yang lebih sesuai dan serasi dengan keadaan negerinya di sepanjang laluan liku dan selekoh yang tajam. Negara-Negara kumpulan 20 (G20) amnya yang mewakili negara-negara selatan, telah memainkan peranan semakin penting dalam ekonomi sejagat; China, India, dan negara-negara Asean serta yang lain sedang berusaha mengubah struktur politik dan ekonomi dunia.
Di dalam negeri kita, dari pilihan raya kecil Sarawak pada April hingga ke perarakan BERSIH 2.0 pada Julai 2011 yang lalu menuntut pilihan raya umum yang bersih, untuk kesekian kali menunjukkan hasrat kuat rakyat semua bangsa menuntut perubahan, menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa, memperjuangkan demokrasi dan keadilan. Dalam menghadapi trend zaman di mana "akan diubah jika tidak berubah lagi", Perdana Menteri, Najib Razak telah mengumumkan pemansuhan ISA yang berupa undang-undang drakonian, membentangkan serentetan pelan transformasi yang merangkumi politik, ekonomi, budaya, pendidikan, pentadbiran dan kehakiman, melantangkan suara kononnya "transformasi lebih unggul daripada reformasi", persis ia sedang menjulang tinggi-tinggi panji trasformasi. Akan tetapi, tema lagu trasformasi itu sentiasa tenggelam dalam lagu lama dan persembahan canggung politik ugutan dan perkauman, autokrasi dan penyalahgunaan kuasa dari dalaman UMNO, nampaknya ia tiada niat sebesar zarah pun untuk berubah sebalik tidak lebih daripada untuk terus berkuasa dan meneruskan apa yang menjamin kelangsungan hegemoni lama.
Namun begitu, laluan bagi rakyat menuntut reformasi masih berhalangan oleh lekak-lekuk perjalanan serba payah oleh fitnah dan propaganda media arus perdana yang bersemayam di bawah rongga kuasa parti pemerintah. Bagimanapun gelombang demi gelombang reformasi yang membadai kian kuat menerjah jendela dan di setiap ruang dan dalam negeri. Reformasi kini telah menjadi aliran sejagat yang melanda di sana sini yang tiada tangan yang boleh menghalangnya.
Rakyat semua bangsa dalam negara sudah amat kecewa dan putus asa terhadap rejim yang rasuah, korupsi, autokrasi dan menyalahgunakan kuasa yang memerintah selama setengah abad lebih itu, kini teramat mendambakan perubahan. Daripada politik ugutan hegemoni lama kepada politik harapan yang lebih telus dan dinamik.
Ekonomi negara kita juga menghadapi jalan sendat, tidak boleh terima transformasi lagi jika hendak menapak langkah menuju negara maju. Boleh dikatakan bahawa struktur lama tergoyah-goyah dalam ribut bergelora, order baru meronta-ronta dalam kesulitan yang wujud. Akan tetapi, kita tetap yakin akan ramalan dalam peribahasa "air boleh menimbulkan perahu, malah boleh jua mengaramkannya". Segala-galanya berpaksikan kepentingan rakyat, kekuatan dan parti yang berjuang demi kepentingan rakyat, pada akhirnya akan memenangi pendukongan rakyat, sedangkan semua golongan yang menjejaskan kepentingan rakyat yang sering memungkiri kehendak rakyat, akhirnya akan disingkirkan oleh rakyat.
Dalam tahun 2012 akan diadakan Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13). Kita berharap tahun yang baru ini bakal mendatangkan harapan baru dan membuka situasi dan wajah politik baru - politik harapan negara bangsa yang lebih selesa sekaligus membenamkan jauh ke dalam bumi order lama fitnah bernanah, politik ugutan dan rasuah.
*Tulisan ini dipetik dari blog Tongkat Bahaman, dengan sedikit suntingan dibuat.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.