Dalam pada rakyat Malaysia menyambut ketibaan tahun baru 2012 dengan
pelbagai cara dan keraian tersendiri yang rata-ratanya disuburi semangat
kesetiakawanan dan perpaduan pelbagai kaum, UMNO dan Barisan Nasional
masih terus dengan sifat angkuh mereka dan beranggapan bahawa rakyat
negara ini sangat mudah diperdaya dan sewenang diperbodoh.
Keterdesakan
UMNO dan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak
semakin terserlah dan jelas tidak boleh diselindung lagi. Perkiraan
Najib untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya umum dalam
tempoh terdekat ini bakal mengundang padah yang besar bagi dirinya dan
isteri beliau Rosmah, serta pada keseluruhan parti usang UMNO dan
Barisan Nasional.
Umum mengetahui bahawa strategi serangan
terhadap Anwar Ibrahim adalah usaha terus-terusan UMNO dan Barisan
Nasional, dan menghumban Anwar ke dalam penjara dianggap bakal memberi
sedikit nyawa untuk mereka terus wujud dan merompak harta rakyat dan
Negara.
Terbaru sekali adalah kepolokkan Utusan Malaysia dan Berita Harian,
media pembohong milik UMNO yang cukup pantas memetik dan memperbesar
kenyataan Raja Petra Kamaruddin (gambar kanan) tentang fitnah dan
tohmahan kes salahlaku seks terhadap Anwar Ibrahim di muka hadapan
akhbar masing-masing. Umum tidak harus lupa bahawa Raja Petra
Kamaruddin, yang kini semakin diketahui sebagai "blogger upahan
UMNO" juga pernah membuat kenyataan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah
terlibat dalam pembunuhan kejam model Mongolia Altantuya Shariibu tidak
lama dahulu yang walaubagaimanapun, sememangnya dan tentunya tidak
dilapor langsung oleh akhbar-akhbar ini.
Fitnah pertuduhan
meliwat oleh Anwar Ibrahim yang selama ini menjadi ancaman kepada Najib
dan Rosmah bakal diputuskan oleh Mahkamah Tinggi tanggal 9 Januari 2012
ini. Terdesaknya UMNO adalah apabila belum apa-apa, hasrat rakyat
kebanyakan untuk keluar memberi sokongan kepada Anwar terus dianggap
sebagai cubaan mencetuskan huru-hara. Harus ditekankan bahawa Anwar
Ibrahim merupakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, ahli parlimen
Permatang Pauh dan Ketua Umum Parti KEADILAN Rakyat. Sebagai seorang
pemimpin politik, tentunya beliau mempunyai pengikut dan penyokongnya.
Kehadiran pengikut dan penyokong Anwar dan anggota-anggota Parti
KEADILAN Rakyat bagi menunjukkan sokongan terhadap beliau tidak harus
dianggap sebagai cubaan menghuru-harakan negara. Dari nada pimpinan
UMNO dan media milik UMNO berhubung perkara ini kebelakangan ini serta
dari pengalaman lampau, saya dapat menjangka bahawa UMNO sendirilah yang
akan mencetuskan provokasi pada hari tersebut.
Saya sekali lagi
menyeru kalangan anggota dan penyokong Parti untuk berhati-hati dan
tidak terjebak dengan perangkap UMNO dan Barisan Nasional yang ingin
menjadikan 9 Januari ini suatu hari hitam dalam diari perjuangan kita.
Nyata
keterdesakan UMNO dan Barisan Nasional untuk terus mengekang dan
memadam kebangkitan rakyat telah menjangkau ke tahap kritikal. UMNO dan
Barisan Nasional kini umpama "telur di hujung tanduk". Rakyat dan
pengundi negara ini telah celik dan cukup sedar bahawa UMNO dan Barisan
Nasional telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab yang dimandatkan
untuk memimpin negara dan membela nasib mereka. Kesemua penyelewengan
dan penyalahgunaan kuasa pimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang telah
dibongkar masih belum dapat dijawab oleh Najib dan kabinetnya.
Malah
dalam kes syarikat Fidlot Nasional, rakyat masih terus dibohong apabila
siasatan dan pertuduhan hanya dibuat terhadap lelaki yang disyaki
menipu suami kepada Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil yang juga
Pengerusi Eksekutif syarikat itu sendiri dan tidak terhadap
pengarah-pengarah syarikat, yang terdiri dari anak-anak mereka mahu pun
Shahrizat sendiri.
Rakyat
sudah semakin jelek dan bosan dengan cubaan UMNO dan Barisan Nasional
untuk terus membohongi dan mengabui mata rakyat. Pendedahan
penyalahgunaan wang zakat oleh Ketua Audit Negara oleh Menteri Jamil
Khir terus dipertahan. Kezaliman dan penindasan terhadap
peneroka-peneroka dalam merebut kekayaan FELDA oleh pemimpin tertentu
UMNO terus dipertingkat dan digalakkan. Kebangkitan mahasiswa menuntut
penghapusan AUKU dan hak dan kebebasan bersuara serta menentang
kezaliman dan kebobrokan UMNO dan Barisan Nasional segera ditentang
dengan kekejaman dan kekerasan Polis. Dalam pada itu, usaha
memporak-perandakan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini masih
dileluasakan.
Saya ingin menyeru dan berpesan kepada rakyat dan
pengundi negara ini untuk terus menolak UMNO dan Barisan Nasional yang
semakin nyata dalam keadaan keterdesakan yang melampau.
*Kenyataan media Saifuddin Nasution Ismail (gambar atas) selaku Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.