Saya terpanggil untuk memberi komen selepas membaca temubual eksklusif
bekas rakan reformasi yang juga Penulis Blog, Raja Petra Kamaruddin
(RPK) bersama akhbar-akhbar milik UMNO yang disiarkan semalam.
Meskipun
saya menghormati hak RPK (gambar kanan) melakukan analisa politiknya
namun saya berasa mushkil dan sesungguhnya hanya beliau seorang sahaja
yang mengetahui logik sebenar kenyataan tersebut.
Pada masa yang
sama saya percaya rakyat boleh menilai sendiri kenyataan dan dakwaan
yang dibuat oleh RPKseperti disiarkan The Sunday Times dan Berita Minggu
- dua akhbar yang dulunya pernah mengkritik dan mengutuk RPK secara
keras kerana menentang Kerajaan Barisan Nasional.
Walau apapun
sebab yang membawa kepada tindakan akhbar-akhbar tersebut bertukar
selera serta ghairah memberi keistimewaan kepada RPK, yang pasti RPK
harus bertanggungjawab ke atas apa yang beliau telah katakan.
Tuduhan
beliau bahawa wujud amalan rasuah di Selangor; duit kopi yang
melibatkan para usahawan berbangsa Cina, adalah tuduhan serius. Kami
menuntut RPK untuk tampil memberikan butiran lanjut kepada Kerajaan
Negeri dan pihak berwajib agar penyiasatan terperinci dapat dilakukan.
Kerajaan
Negeri bersedia membayar kos perjalanan RPK ke Pejabat Pentadbiran
Kerajaan kerana untuk makluman RPK Kerajaan Negeri Selangor telah
memperuntukkan sejumlah RM15 juta untuk membasmi rasuah dan
penyalahgunaan kuasa di Negara ini khususnya di Selangor. Jumlah
tersebut termasuk di dalam Geran Selangorku yang diumumkan oleh Menteri
Besar ketika pembentangan Belanjawan 2012 yang lalu.
Sesungguhnya
inilah sekecil-kecil jasa yang beliau boleh lakukan untuk membantu
kerajaan yang benar-benar mahu membenteras rasuah; apatah lagi beliau
sendiri dari darah bangsawan negeri Selangor. RPK tidak seharusnya
melemparkan dakwaan liar hanya semata-mata mahu memperlekeh usaha
Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik, bersih
dan penuh pertanggungjawaban.
Kami
sesungguhnya simpati dan amat memahami kekecewaan beliau yang terpaksa
hidup dalam buangan di tengah-tengah permasalahan peribadi yang beliau
hadapi, tetapi dengan melemparkan dakwaan liar sebegini tidak akan
membantu membawanya pulang ke negara ini. Sebaliknya ianya hanya akan
mencemarkan lagi imejnya yang sudah sediakala tercalar.
Rata-rata
teman reformasi yang sempat dihubungi serta rakyat biasa, telahpun
membuat kesimpulan bahawa RPK begitu terdesak serta mengharapkan
kebebasan dan dibenarkan pulang ke negara ini. Insuransnya mudah;
tohmahan dan fitnah terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan Penasihat
Ekonomi Negeri, Anwar Ibrahim sebagai serangan awal menghadapi pilihan
raya umum.
*Kenyataan media oleh Faekah Husin (gambar kiri) selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.