GEORGE TOWN, 31 DIS – Walau pun pelbagai kerajaan telah memerintah
Pulau Pinang selama 225 tahun dengan pelbagai haluan, hubungan sesama
rakyatnya tetap aman harmoni kerana dijalin semangat hormat kepada
kepelbagaian budaya.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, tradisi keharmonian
dan saling hormat-menghormati di antara pelbagai etnik dan budaya yang
dilambangkan dalam pembinaan masjid, gereja, kuil-kuil India dan Cina di
sekitar kawasan yang berdekatan, telah diiktiraf oleh UNESCO apabila
George Town diberi status Bandar Warisan Dunia pada 7 Julai 2008.
“Kita yakin Pulau Pinang mampu mengalahkan golongan pelampau yang
menggunakan emosi jijik dan juga mengatasi golongan rasis yang
menakutkan rakyat dengan ancaman sama ada untuk mendominasi atau
didiskriminasikan.
“Mari kita bebaskan diri daripada sikap-sikap pengabaian, tidak
peduli dan tidak toleransi,” katanya dalam mesej tahun baru 2012.
Menurutnya, Pulau Pinang bercita-cita menjadi sebuah negeri yang
pintar dan bertaraf antarabangsa demi berdaya saing dalam dunia
globalisasi.
“Sebagai negeri yang tiada sumber asli, kita harus membangunkan
sumber manusia dengan melatih, melatih semula, mengekalkan dan menarik
modal insan,” tambah beliau.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Pulau Pinang harus
mendakap masa depan yang mapan dengan perumahan mampu milik dan lebih
banyak kawasan hijau.
Sementara inisiatif hijau akan berterusan, katanya, perumahan mampu
milik juga diberi kepentingan di mana kerajaan negeri Pakatan rakyat
Pulau Pinang telah memperuntukkan jumlah terbesar di kalangan semua
kerajaan negeri di Malaysia, iaitu RM500 juta untuk Dana Perumahan Mampu
Milik demi memastikan anak-anak kecil akan dibesarkan dalam keadaan
yang selesa dan bermartabat.
“Kita harus mendakap masa depan tanpa kemiskinan. Pulau Pinang telah
menjadi negeri pertama untuk membasmi kemiskinan tegar pada tahun 2009
dengan pemberian bantuan kewangan sosial.
“Tahun depan, kita akan memastikan bahawa setiap keluarga di Pulau
Pinang akan menerima pendapatan minima sebanyak RM600 sebulan. Pulau
Pinang juga mempunyai hasrat untuk menjadi negeri pertama di Malaysia
untuk membasmi kemiskinan menjelang 2015,” ujarnya.
Sementara pihak polis di Pulau Pinang telah bekerja keras untuk
mengurangkan kadar jenayah, beliau menjelaskan, kerajaan negeri juga
telah memainkan peranan dengan memasang CCTV dan memulakan program polis
masyarakat untuk menjadikan Pulau Pinang negeri yang paling selamat di
Malaysia.
“Kita harus memperbaharui semangat kerja yang kuat, jujur dan bijak.
Hanya melalui penubuhan institusi dan kewujudan peluang boleh kita
mencetuskan inovasi yang berteraskan teknologi, nilai tambah yang tinggi
dan ekonomi berasaskan pengetahuan,” uajr beliau.
Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, kerajaan negeri juga
telah mencapai lebihan bajet setiap tahun dan berjaya menyelamatkan
Majlis Perbandaran Seberang Perai daripada kemuflisan sejak mengambil
alih pentadbiran dengan mengamalkan urus tadbir CAT (cekap, akauntabel
dan telus) yang telah diiktiraf oleh Transparency International.
“Pulau Pinang makmur apabila kita sedar bahawa sesuatu negeri tanpa
apa-apa sumber asli haruslah bergantung kepada sumber manusia dan
pembangunan modal insan.
“Pulau Pinang merosot apabila kita lupa bahawa sumber keistimewaan
negeri kita merupakan tenaga, kepakaran dan daya kesusahawanan rakyat
kita,” ujarnya.
Justeru, beliau mengajak semua rakyat Pulau Pinang supaya berusaha
gigih untuk menjadi negeri lebih bersih, hijau dan selamat dan yang
membawa rezeki kepada mereka yang bekerja secara keras, jujur dan bijak.
– Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.