KUALA LUMPUR, 31 Dis:
Dewan Pemuda PAS Malaysia dan beberapa buah NGO Islam telah menyediakan
enam program alternatif bagi menyambut kedatangan tahun baru 2012 malam
ini.
Program-program tersebut terdiri daripada Konsert Hibur
Didik, Ekspedisi Dakwah Gamis, Himpunan 1,000 Jiwa Satu Hati, Soal Jawab
Agama Antara Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak, Malam Eksperesasi
Ikim.FM dan Program Indahnya Islam.
Ketua Dewan Pemuda PAS
Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, daripada enam program tersebut, salah
satunya dianjurkan sepenuhnya oleh pihaknya, manakala yang lain
dianjurkan oleh NGO-NGO Islam.
Menurutnya, program yang
dianjurkan sepenuhnya oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dinamakan Konsert
Hibur Didik yang akan diadakan di Dataran Greenwood, Gombak, Selangor,
iaitu berdekatan dengan stesyen minyak Shell di Greenwood.
Katanya,
Konsert Hibur Didik akan menghidangkan pelbagai persembahan hiburan
berunsur Islam kepada orang ramai termasuk nasyid daripada
kumpulan-kumpulan nasyid, persembahan hiburan daripada beberapa orang
rokers yang telah menjalani hidup secara islamik, pembacaan sajak dan
puisi.
"Konsert Hibur Didik akan bermula sekitar jam 9.00 malam
ini sehingga awal pagi esok atau 1.00 pagi malam ini, dengan dihadiri
saya sendiri dan Exco-exco Dewan Pemuda PAS Malaysia," katanya ketika
dihubungi Harakahdaily hari ini. Program-program lain yang
tidak kurang menariknya yang diadakan oleh beberapa buah NGO Islam pula,
menurutnya, termasuklah Ekspedisi Dakwah Gamis, anjuran Gamis, di
Masjid Jamek, Kuala Lumpur bermula awal malam ini hingga 1.00 pagi.
Katanya,
program Himpunan 1,000 Jiwa Satu Hati akan berlangsung di Masjid
Negara, Kuala Lumpur dengan jangka masa agak panjang bermula malam ini
hingga tengah hari esok.
"Satu lagi program yang menarik akan
diadakan di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam, Selangor, pada malam ini
hingga jam 1.00 pagi yang dinamakan Soal Jawab Agama," jelasnya.
Program
tersebut akan melibatkan pendakwah popular, Ustaz Azhar Idrus dari
Terengganu dan Zizan Raja Lawak yang akan bersoal jawab mengenai
pelbagai perkara termasuk yang melibatkan kehidupan muda-mudi.
Malam
Eksperesasi Ikim.FM pula akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan,
Kuala Lumpur, anjuran radio Ikim, bermula malam ini hingga pagi esok,
manakala Program Indahnya Islam akan diadakan di Masjid As-Syakirin
KLCC.
Menurutnya, penganjuran program-program alternatif itu
ternyata merupakan satu perkembangan baru di negara ini, khususnya bagi
menyambut kedatangan tahun baru, memandangkan program-program seperti
itu tidak pernah diadakan sebelum ini.
"Sebaliknya yang sering
kita dengar sebelum ini bagi menyambut tahun baru adalah program-program
hiburan yang melalaikan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu yang
tidak bertanggungjawab seperti konsert-konsert hiburan daripada
artis-atis tertentu, pesta seks bebas, larian tanpa pakaian dan
sebagainya," ujarnya kesal.
Penganjuran program-program
alternatif itu, katanya, pasti akan memberikan jalan keluar kepada
anak-anak muda untuk memilih program terbaik kepada mereka bagi
menyambut tahun baru.
Beliau berharap agar anak-anak muda dapat
membuat pilihan yang bijak untuk berhibur bagi menyambut tahun baru
dengan adanya program-program seperti itu yang disediakan untuk mereka.
"Ini
juga sebenarnya selaras dengan tag line Dewan Pemuda PAS Malaysia
sendiri, iaitu "Berhibur Tanpa Maksiat" dan diharap ia akan dimanfaatkan
dengan baik oleh seluruh anak-anak muda terutama yang tinggal di Lembah
Klang," tegasnya.
Sebelum ini Dewan Pemuda PAS Malaysia pernah
dihujani dengan pelbagai pertanyaan mengenai program hiburan alternatif
yang akan dianjurkan oleh pihaknya, setelah dewan tersebut sering
mengadakan bantahan keras terhadap program-program maksiat yang
merosakkan anak-anak muda yang diadakan oleh pihak-pihak tertentu.
"Dengan
adanya Konsert Hibur Didik yang diadakan itu khususnya, bermakna Dewan
Pemuda PAS Malaysia telah pun menjawabnya dengan menyediakan program
yang terbaik untuk pilihan anak-anak muda pada malam ini," tegasnya.
Beliau
juga menegaskan telah mengarahkan Dewan-Dewan Pemuda PAS negeri-negeri
mengadakan tindakan yang sama di negeri masing-masing pada malam ini,
dengan menganjurkan program-program hiburan yang bersesuaian dengan jiwa
anak-anak muda seperti yang digariskan di dalam Islam. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.